“Saya tahu siapa awak” – Peniaga nasi lemak kecewa pelanggan guna wang palsu beli makanan

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang peniaga nasi lemak meluahkan rasa sedih selepas mendakwa sekali lagi menjadi mangsa individu yang menggunakan wang palsu untuk membeli makanan di gerainya.

Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, peniaga dikenali sebagai Nasi Lemak Abang Long menunjukkan sekeping wang kertas RM50 yang didakwa palsu selepas diterima sebagai bayaran daripada pelanggan.

Menurutnya, kejadian itu bukanlah kali pertama berlaku, malah sebelum ini seorang lagi pekerjanya turut menjadi mangsa taktik sama.

“Sedih tau, ini bukan kali pertama jadi. Tengok ni,” katanya sambil menunjukkan sekeping wang kertas yang dilipat kecil.

Beliau berkata, pelanggan terbabit membeli makanan bernilai lebih RM30 sebelum membayar menggunakan wang yang didakwa palsu.

“Korang beli makanan, nak jadi darah daging. Kenapa sanggup buat macam ni, bagi duit palsu?

“Duit ini ada kesan lipat, sampai lipat enam. Ambil makanan sampai RM30 lebih, bayar guna duit palsu. Kau tak takut ke jadi darah daging?” ujarnya dalam video berkenaan.

Peniaga itu turut mendakwa mengetahui individu yang menyerahkan wang berkenaan kerana urusan jual beli tersebut dirakam menerusi siaran langsung (live) yang dibuat ketika berniaga.

“Yang buat kerja ini perempuan tau. Saya ada live, saya tahu siapa yang bagi ni. Jadi kalau awak rasa ada hati perut, datanglah balik, bayar bali,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan kejadian tersebut pernah berlaku sebelum ini melibatkan pekerja lain walaupun mereka telah diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika menerima wang tunai.

“Ini bukan kali pertama. Dulu staf lain yang kena, ini staf lain pula kena. Kita dah bagi awareness, orang lain pula terkena.”

Beliau turut berkongsi antara cara mudah untuk mengenal pasti wang palsu berdasarkan keadaan fizikal wang kertas.

“Yang mana ada niat nak bagi duit palsu macam ni, kalau yang asli memang tak mungkin tanggal, tapi ini semua tertanggal,” tambahnya.

Malah, menerusi kapsyen video itu, peniaga berkenaan mendakwa memiliki rakaman lengkap transaksi tersebut dan berharap individu terbabit tampil memulangkan semula wang sebenar.

“Saya tak marah dan takkan viralkan, tapi takkan halalkan. Saya ada live recording, saya tahu dari siapa duit ini datang.

“Kalau ada hati perut, datang pulangkan dan bayar semula dengan wang yang betul. Kalau malu, mesej saya, kita bagi QR, tak susah pun,” jelasnya

Baca juga: Perbelanjaan Pengguna Malaysia Dijangka Meningkat Pada 2026 – BMI