Apa itu KWAN 2026? RUU baharu tetapkan syarat lebih ketat lindungi kekayaan negara

Oleh MALAYSIADATELINE

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 2026 yang memperkenalkan pembaharuan menyeluruh pertama terhadap Kumpulan Wang Amanah Negara sejak penubuhannya pada 1988.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, RUU itu bertujuan memperkukuh KWAN sebagai simpanan antara generasi bagi memastikan rizab kewangan negara kekal mampan untuk generasi masa kini dan akan datang.

Menurut kementerian itu, pembaharuan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh pengurusan kewangan awam, memelihara kekayaan negara secara lestari serta memastikan hasil negara hari ini turut memberi manfaat kepada generasi masa depan.

“Selaras dengan agenda reformasi ekonomi Kerajaan, RUU ini menggariskan pembaharuan penting bagi memperkukuh tadbir urus, disiplin fiskal dan daya tahan kewangan negara demi kepentingan rakyat serta generasi masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Antara pembaharuan utama yang diperkenalkan ialah penubuhan Kumpulan Wang Amanah Negara (Diperbadankan) sebagai sebuah badan berkanun yang akan menggantikan struktur panel sedia ada bagi mentadbir, mengurus dan melaburkan dana KWAN.

Dalam tempoh peralihan, pengurusan dana KWAN akan terus dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan kelangsungan operasi.

MOF memaklumkan, di bawah pengurusan BNM, nilai KWAN telah berkembang kepada RM22.43 bilion sehingga akhir tahun 2024 dan sepanjang tempoh peralihan tiada gangguan dijangka berlaku terhadap pelaburan, kontrak serta operasi kumpulan wang tersebut.

Buat pertama kali, RUU itu turut memperkenalkan peruntukan yang mengikat berkaitan sumbangan, penggunaan dan pelaburan dana.

Kerajaan Persekutuan diwajibkan menyumbang sekurang-kurangnya 0.1 peratus daripada hasil tahunan yang diunjurkan, selain 2.0 peratus dividen PETRONAS yang diterima Kerajaan Persekutuan serta 2.0 peratus hasil duti eksport sumber yang menyusut, selepas mengambil kira penyerahan kepada kerajaan negeri.

Menurut MOF, kadar berkenaan merupakan kadar minimum dan Kerajaan Persekutuan boleh menambah sumbangan pada bila-bila masa.

RUU itu turut menetapkan penggunaan dana hanya dihadkan kepada sektor pendidikan, penjagaan kesihatan serta usaha mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim.

Selain itu, pengeluaran tahunan tidak boleh melebihi 50 peratus daripada kadar pulangan sebenar jangka panjang yang dijangka bagi memastikan prinsipal dana terus terpelihara dan berkembang.

Sebarang pengeluaran melebihi had tersebut memerlukan kelulusan Dewan Rakyat.

Dalam aspek pelaburan pula, dana KWAN akan dilaburkan secara berhemah merentasi kelas aset yang dibenarkan berdasarkan Perumpukan Aset Strategik yang diluluskan oleh Menteri.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sumber negara yang dinikmati hari ini merupakan amanah yang perlu dipelihara demi generasi akan datang.

“Sumber yang kita nikmati hari ini bukan milik kita semata-mata. Kita memegangnya sebagai amanah untuk generasi masa hadapan,” ujar beliau.

Beliau berkata, RUU tersebut akan memperkukuh KWAN sebagai simpanan antara generasi melalui sumber sumbangan yang lebih konsisten, penggunaan yang lebih berdisiplin serta tadbir urus yang lebih kukuh.

“Ini akan membolehkan lebih banyak kekayaan negara dipelihara dan dapat diwariskan kepada generasi Malaysia pada masa hadapan,” tambah beliau.

RUU Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 seterusnya akan dibentangkan di Dewan Negara untuk pertimbangan dan kelulusan.

Baca juga: Penerima tanpa akaun bank, Orang Asli dapat manfaat Jelajah Program Penunaian STR