Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan fenomena El Nino yang boleh menjejaskan bekalan makanan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perubahan cuaca yang semakin tidak menentu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat mengenai kesiapsiagaan negara sekiranya fenomena El Nino memberi kesan kepada sektor pertanian.
Menurut beliau, keadaan itu turut menimbulkan persoalan sama ada bekalan makanan negara mampu kekal terjamin sekiranya cuaca ekstrem berpanjangan.
Menurut beliau, golongan yang paling awal menerima kesan akibat perubahan cuaca ialah petani, pesawah, penternak dan nelayan.
“Cuaca semakin panas, hujan pula tidak menentu.
“Ramai mula tertanya-tanya, adakah negara benar-benar bersedia jika fenomena El Nino memberi kesan kepada bekalan makanan kita?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Mohamad berkata, isu berkenaan turut dibangkitkan Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Bakri Jamaluddin, ketika sesi Minister Question Time (MQT) di Dewan Rakyat.
Beliau menjelaskan kerajaan tidak menunggu sehingga krisis berlaku sebelum mengambil tindakan, sebaliknya telah melaksanakan pelbagai langkah persediaan bagi mengurangkan impak perubahan iklim terhadap sektor agromakanan.
“Kerajaan MADANI melalui KPKM telah membuat persediaan lebih awal dengan memantau paras air empangan, memperkukuh sistem pengairan, menggunakan teknologi pertanian pintar, menyediakan bantuan kepada petani serta memperkenalkan benih tanaman yang lebih tahan kemarau,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa stok beras negara sentiasa dipastikan berada pada paras mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Pada masa yang sama, stok beras negara juga sentiasa dipastikan mencukupi,” tambahnya.
Mohamad berkata, perubahan iklim bukan lagi ancaman yang bakal berlaku pada masa hadapan, sebaliknya cabaran yang sedang dihadapi ketika ini dan memerlukan tindakan berterusan.
Beliau berkata, setiap langkah yang diambil kerajaan bukan sekadar untuk menghadapi fenomena El Nino, malah bertujuan memastikan keterjaminan bekalan makanan negara terus dipelihara.
“Insya-Allah, dengan usaha berterusan dan kerjasama semua pihak, kita akan terus mempertahankan keterjaminan makanan demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.
Baca juga: PM Anwar kongsi strategi kerajaan hadapi krisis bekalan, agenda peralihan tenaga terus dilaksana