Seorang pendakwah terkenal Indonesia, Gus Miftah yang pernah terpalit kontroversi kerana menghina seorang penjual teh ais, dilaporkan terpalit pula dengan kes rasuah yang menggemparkan wilayah itu.
Lapor Agensi, nama pendakwah itu disebut dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Bupati Pati, Sudewo.
Saksi dalam perbicaraan itu mendakwa, wang berjumlah 100 juta rupiah (RM22,662) diserahkan kepada Miftah Maulana Habiburrahman atau lebih dikenali sebagai Gus Miftah.
Jurucakap Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia, Budi Prasetyo berkata, setiap fakta yang dikemukakan sepanjang prosiding mahkamah akan dianalisis oleh pihak pendakwa raya dan penyiasat bagi menentukan sama ada terdapat keperluan untuk memperluaskan siasatan.
“Semua fakta yang timbul dalam perbicaraan akan dianalisis oleh pendakwa raya dan menjadi bahan penelitian penyiasat untuk menentukan sama ada siasatan perlu dikembangkan,” katanya.
Menurut beliau, KPK turut akan menyiasat motif, tujuan dan kedudukan pihak yang dikaitkan dengan penyerahan wang berkenaan bagi memastikan sama ada wujud unsur perbuatan menyalahi undang-undang.
Nama Gus Miftah disebut ketika perbicaraan pada 13 Julai lalu apabila seorang saksi mengesahkan berlaku penyerahan wang sebanyak 100 juta rupiah kepada pendakwah itu.
Bagaimanapun, KPK menegaskan setakat ini tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap Gus Miftah dan perkara berkenaan masih dalam proses penelitian berdasarkan fakta yang didedahkan di mahkamah.
Dalam kes sama, Sudewo didakwa menerima ganjaran melebihi 2.34 bilion (RM530,191) selain sebuah keris Nogososro bernilai 15 juta (RM3,400) serta kerja menaik taraf jalan di hadapan kediamannya bernilai 150 juta (RM34,000) ketika berkhidmat sebagai Ahli Suruhanjaya V Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia.
Baca juga: Malaysia atasi China, Jepun dalam unjuran ekonomi 2026, Moody’s Rating kekal penarafan A3