PM Anwar Syukur Ekonomi Malaysia Tumbuh 5.8 Peratus Pada Suku Kedua 2026

Oleh BERNAMA

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan kesyukuran susulan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dianggarkan berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2026 selepas mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini.

Dalam laporan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Kedua 2026, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan prestasi itu disokong oleh pertumbuhan dalam hampir semua sektor ekonomi kecuali sektor pertanian yang merekodkan penguncupan.

“Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah,” katanya ringkas kepada pemberita ketika diminta mengulas pengumuman DOSM hari ini selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Dato’ Penghulu Menteri Sungei Ujong, Kuarters KLIA di sini.

Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus pada separuh pertama tahun ini berbanding 4.5 peratus dalam tempoh yang sama pada 2025.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan turut bersyukur apabila inflasi meningkat pada kadar yang lebih perlahan.

DOSM dalam kenyataan memaklumkan inflasi Malaysia meningkat pada kadar yang lebih perlahan kepada 1.9 peratus pada Jun 2026 berbanding dua peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Menurut agensi tersebut, peningkatan yang lebih perlahan itu didorong terutamanya oleh kumpulan pengangkutan, yang mencatatkan kenaikan 2.8 peratus berbanding 3.8 peratus pada Mei 2026.
— BERNAMA

Baca juga: Jangan Sorok Kes Buli Demi Jaga Imej Sekolah – PM Anwar