Asas kepimpinan dalam diri seseorang itu bermula dengan sikap untuk tidak cepat berpuas hati dengan pencapaian peribadi sebaliknya berterusan membina jati diri dan meningkatkan kemahiran.
Perkara itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi dialog Temu Anwar Bersama Pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik Nilai hari ini yang turut dikongsikan di platform Facebook.
Menurut Anwar, perkara ini adalah sebahagian daripada semangat ‘itqan fil ’amal’ yakni menyempurnakan setiap amanah dan pekerjaan sebaik mungkin, sambil terus memperbaiki diri dalam ilmu, akhlak, ibadah, pendekatan mengajar dan mutu kerja.
Beliau yang juga Menteri Kewangan itu turut menyentuh mengenai perkembangan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI) perlu dikuasai oleh bakal pendidik dan penimpin dengan harapan dapat memenuhi tuntutan semasa.
“Seorang pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi menjadi teladan yang sentiasa bersedia belajar, menerima perubahan dan meningkatkan kualiti diri.
“Dalam dunia yang berkembang pesat dengan kemajuan digital, kecerdasan buatan (AI) dan peralihan tenaga, guru serta bakal pemimpin perlu berani berinovasi, menguasai kemahiran baharu dan menyesuaikan pedagogi dengan tuntutan semasa.
“Pandangan ini saya kongsikan dalam sesi dialog Temu Anwar Bersama Pelajar IPG Kampus Pendidikan Teknik Nilai hari ini dan (turut) menzahirkan keyakinan generasi muda memiliki potensi besar untuk memimpin perubahan,” kata pemimpin itu.
Anwar bagaimanapun mengingatkan bahawa potensi seperti itu hanya akan dapat direalisasikan melalui penguasaan ilmu dan kemahiran, kerjasama erat dengan industri serta semangat yang tidak pernah luntur untuk mengejar kecemerlangan.
Baca juga: PM Anwar Syukur Ekonomi Malaysia Tumbuh 5.8 Peratus Pada Suku Kedua 2026