Ramai minta petrol lebih murah, Anwar dedah kerajaan tanggung subsidi RM40 bilion

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan tidak boleh menurunkan harga petrol sesuka hati kerana langkah itu akan meningkatkan beban kewangan negara yang ketika ini sudah menanggung subsidi bahan api mencecah kira-kira RM40 bilion setahun.

Menurut beliau, masih ada pihak yang mempertikaikan mengapa harga petrol tidak diturunkan lagi, malah ada yang beranggapan ia boleh dijual serendah 50 sen seliter.

Bagaimanapun, Anwar berkata situasi semasa jauh berbeza berbanding ketika cadangan tersebut pernah dibangkitkan sebelum ini lapor Kosmo! Online.

“Tentang harga minyak, saya tengok dalam media sosial orang kata, ‘Anwar tak turun harga minyak’. Saya pun tidak faham. Ada yang kata harga sepatutnya turun sehingga 50 sen.

“Saya kata, ketika cadangan itu dibuat dahulu, harga petrol di Arab Saudi sekitar 50 sen seliter.

“Malaysia pula masih mengimport hampir 50 peratus keperluan petroleum kita, tetapi kita masih dapat menjual petrol pada harga RM1.90 seliter.

“Alhamdulillah. Tahukah saudara berapa subsidi yang kerajaan tanggung setiap tahun bagi petrol dan diesel? RM40 bilion setahun,” katanya seperti dipetik Kosmo Online.

Anwar berkata, kerajaan membelanjakan sekitar RM40 bilion setiap tahun bagi menampung subsidi petrol dan diesel demi memastikan rakyat terus menikmati harga bahan api yang lebih rendah.

Menurutnya, jika harga petrol diturunkan lagi, kerajaan perlu menyediakan peruntukan tambahan yang akhirnya boleh meningkatkan hutang negara.

“Setiap kali saudara mengisi minyak, terdapat suntikan subsidi daripada kerajaan. Keseluruhannya mencecah RM40 bilion setahun untuk petrol dan diesel.

“Orang boleh kata suruh turunkan lagi harga minyak. Tetapi siapa yang hendak membayarnya? Saya tidak mahu terus menambah hutang negara,” katanya.

Baca juga: Kenaikan harga barang tak gugat Aminah kekalkan RM1 hampir 10 tahun