KWAP tetap catat untung, kes eFishery turut jerat pelabur terkemuka dunia – PM Anwar

Oleh MALAYSIADATELINE

Dakwaan kes penipuan korporat, eFishery bukan sahaja mendatangkan kerugian kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), malah turut menjerat pelabur terkemuka dunia termasuk Temasek, SoftBank dan 42XFund.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkannya sebagai ‘kejadian luar biasa’ memandangkan tiga syarikat audit terbesar dunia turut meluluskan pelaburan kepada syarikat pemula teknologi akuakultur berkenaan.

Walau bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu memaklumkan bahawa KWAP tetap berhasil mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM12.9 bilion di sebalik kerugian tersebut.

Sehubungan dengan itu, prestasi KWAP perlu dinilai dengan adil memandangkan pertumbuhan nilai dana sebanyak 9.3 peratus itu sekali gus mencerminkan pengurusan dana yang profesional dan berhemat.

“Dalam jawapan saya di Dewan Negara hari ini, saya menjelaskan bahawa kes eFishery merupakan dakwaan penipuan korporat yang turut menjerat pelabur terkemuka dunia seperti Temasek, SoftBank dan 42XFund.

“KWAP bukan satu-satunya pelabur yang terkesan,” katanya menerusi perkongsian di platform Facebook untuk mengulas semula jawapan beliau dalam sesi soal jawab lisan sempena Mesyuarat Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu, Senator Mohd Hasbie Muda bertanyakan strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global..

Dalam perkongsian sama, Anwar juga menjelaskan bahawa KWAP bersama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) turut melabur dalam syarikat pemula tempatan yang memberikan manfaat besar kepada kesejahteraan rakyat.

“Melalui ikhtiar GEAR-uP, KWAP bersama GLIC lain akan terus meningkatkan pelaburan dalam syarikat tempatan berpotensi seperti ZUS Coffee, Bateriku dan Lapasar demi menjana pulangan mampan, memperkukuh ekonomi negara serta mewujudkan lebih banyak peluang kepada anak Malaysia.” Ujarnya.

Baca juga: Ramai minta petrol lebih murah, Anwar dedah kerajaan tanggung subsidi RM40 bilion