Keterujaan menyaksikan perlawanan bola sepak sehingga sanggup mempertaruhkan talak terhadap isteri boleh mengundang penyesalan seumur hidup.
Bekas Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengingatkan bahawa lafaz talak bukan bahan jenaka atau cabaran sesama rakan kerana ia boleh membawa kesan yang amat besar menurut hukum syarak.
Menerusi satu hantaran di Threads, beliau berkongsi kisah pandangan mengenai tangkap layar perbualan seorang wanita yang dalam keadaan cemas selepas suaminya didakwa melafazkan talak tiga sebagai taruhan jika pasukan pilihannya tewas.
Menurut perkongsian itu, wanita berkenaan memaklumkan suaminya bertaruh dengan rakan-rakannya bahawa sekiranya Argentina kalah dalam perlawanan akhir Piala Dunia menentang Sepanyol, dia akan menceraikan isterinya dengan talak tiga.
“Kak apa aku nak buat. Laki aku bertaruh dengan kawan-kawan dia. Kalau Argentina kalah dengan Spain dia ceraikan aku talak tiga.
“Aku rasa dah jatuh talak tiga. Dia balik pagi tadi meraung macam orang gila. Aku tanya kenapa? Dia pun cerita hal sebenar,” tulis wanita itu dalam mesej yang dikongsikan.
Dr Zulkifli berkata, pada mulanya suami berkenaan menyangka lafaz itu sekadar gurauan atau taruhan ketika menonton bola sepak bersama rakan-rakan.
Namun, apabila syarat yang disebut benar-benar berlaku, dia mula dihimpit penyesalan dan bimbang terhadap kesan lafaz tersebut dari sudut hukum syarak.
Beliau menjelaskan bahawa majoriti ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali berpendapat talak yang digantungkan dengan sesuatu syarat akan jatuh apabila syarat itu benar-benar berlaku.
Memetik pandangan Imam Abu Syuja’, beliau berkata:
“Jika seseorang menggantungkan talak dengan suatu syarat, maka talak itu berlaku apabila syarat tersebut wujud,” ujarnya.
Malah, Imam al-Nawawi turut menegaskan bahawa apabila seseorang menggantungkan talak dengan suatu syarat dan syarat itu berlaku, maka talak tersebut jatuh menurut mazhab Syafi’i.
Sehubungan itu, Dr Zulkifli mengingatkan umat Islam supaya sentiasa menjaga lisan dan tidak mempermainkan lafaz talak walaupun dalam keadaan bergurau atau bertaruh.
Beliau turut mengingatkan sabda Rasulullah SAW bahawa terdapat tiga perkara yang gurauannya tetap dianggap serius, iaitu nikah, talak dan rujuk.
“Oleh itu, saya menasihatkan pasangan yang berdepan situasi seperti ini supaya segera merujuk ke Mahkamah Syariah atau pejabat agama yang berkenaan bagi mendapatkan pengesahan dan penyelesaian mengikut hukum syarak serta undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Baca juga: KWAP tetap catat untung, kes eFishery turut jerat pelabur termuka dunia – PM Anwar