Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan daripada ulama terkemuka Mesir, Syeikh Dr. Mustafa An-Nadwi Al-Hasani yang disifatkan sebagai tetamu istimewa di pejabatnya di Putrajaya, semalam.
Menerusi perkongsian di platform Facebook, Anwar memaklumkan bahawa Syeikh Dr. Mustafa adalah salah seorang murid kanan Syeikh Abul Hasan Ali al-Nadwi yang cukup dikenali kerana memiliki peribadi menenangkan.
Syeikh Dr. Mustafa juga merupakan seorang ilmuwan yang menekankan persoalan mengenai akhlak, hikmah kedalaman ilmu khususnya bidang hadis menyebabkan beliau wajar dijadikan contoh teladan masyarakat masa kini.
“Pada zaman yang sering mengangkat sensasi mengatasi ilmu, tokoh seperti Syeikh Dr Mustafa menawarkan kita teladan, mengingatkan kita bahawa ilmu dan hikmah hadir bagai embun di waktu subuh diam, lembut, tetapi menghidupkan alam.
“Kami bertukar pandangan mengenai hal ehwal semasa serta majlis Ilmu yang melibatkan Syeikh Dr. Mustafa sepanjang berada di Malaysia minggu ini,” kata pemimpin nombor satu negara itu berhubung pertemuan tersebut.
Dalam perkongsian sama, Anwar turut menzahirkan penghargaan atas nasihat serta doa Syeikh Dr. Mustafa agar Malaysia terus memelihara perpaduan dan membina kemakmuran dalam keberkatan.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT terus mempelihara Syeikh Dr. Mustafa An-Nadwi Al-Hasani, diberikati ilmu dan amalnya agar dapat menyambung mata rantai ulama yang membentuk umat dengan kebijaksanaan, kesederhanaan serta kasih sayang.
“Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka.
“Melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. [Riwayat Muslim (4867)].” Kongsi Anwar dalam hantaran dimuat naik di akaun Facebook miliknya itu.