Kementerian Kewangan perjelas isu kes eFishery, dedah strategi pulihkan pelaburan

Oleh MALAYSIADATELINE

Isu pelaburan dana Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melibatkan syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery yang terpalit dakwaan penipuan korporat terancang antarabangsa semakin hangat dibincangkan oleh masyarakat.

Hal ini kerana pendedahan yang dibuat sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mencetuskan pelbagai persoalan terutama mengenai impak kes tersebut kepada ekonomi Malaysia serta langkah untuk memulihkan semula dana pelaburan.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Kewangan menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook memberikan penjelasan berhubung isu berbangkit berkaitan kes tersebut supaya lebih mudah difahami oleh masyarat.

Berikut kami kongsikan penjelasan berhubung kes eFishery berdasarkan maklumat dalam bentuk infografik yang dikongsikan oleh Kementerian Kewangan menerusi hantaran itu;

Penipuan Korporat Terancang dengan Memanipulasi Laporan Kewangan

  • Pelaburan KWAP dalam eFishery telah melalui proses penilaian dalaman dan usaha wajar bebas, termasuk penelitian daripada aspek kewangan, perundangan serta operasi.
  • Namun laporan kewangan yang dimanipulasi secara terancang telah memperdaya pelbagai pelabur institusi termasuk Temasek (Singapura), SoftBank (Jepun) dan 42Xfund (UAE) yang turut melabur dalam jumlah lebih besar berbanding KWAP.
  • Kesan daripada kes tersebut, KWAP kini sedang mengambil langkah sewajarnya untuk memulihkan nilai pelaburan serta memperkukuh kawalan bagi pelaburan akan datang.

Usaha Pemulihan Nilai Pelaburan dan Tindakan Undang-undang

  • KWAP bersama konsortium pelabur telah mengambil alih pengurusan eFishery dan membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap pihak yang bertanggungjawab.
  • Aset syarikat dirasionalisasikan bagi memulihkan nilai pelaburan semaksimum mungkin dan tindakan undang-undang sudah diambil, manakala tindakan sivil susulan di Indonesia, Singapura dan negara berkaitan sedang dipertimbangkan.

Pengurusan Dana Persaraan secara Profesional dengan Risiko Terkawal

  • KWAP menguruskan dana persaraan rakyat melalui strategi pelaburan seimbang, pengurusan risiko yang kukuh serta proses tadbir urus terbaik untuk menjana pulangan besar dengan risiko yang terkawal.
  • Pelaburan daripada agensi berkaitan kerajaan turut dipelbagaikan merentasi kelas aset, sektor dan pasaran bertujuan melindungi keseluruhan portfolio daripada ketidaktentuan pasaran.

KWAP Kekal Mencatatkan Prestasi Kukuh dengan Meraih Keuntungan

  • Walaupun mengambil kira nilai kerugian akibat penipuan eFishery dalam prestasi tahun 2024, KWAP tetap mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM12.9 bilion dalam tempoh tersebut.
  • Pertumbuhan saiz dana pada tahun sama juga direkodkan pada kadar 9.3 peratus sekali gus mencerminkan kekuatan keseluruhan portfolio serta pengurusan pelaburan KWAP yang profesional dan berdisiplin.

Peningkatan Pelaburan dalam Negara Membabitkan Syarikat Tempatan

  • Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) memperkukuh ekonomi tempatan melalui ikhtiar GEAR-uP dengan pelaburan domestik meningkat kepada RM30 bilion pada 2026 berbanding RM25 bilion di tahun lalu.
  • Tumpuan diberikan kepada syarikat pemula niaga Malaysia untuk membantu usahawan tempatan, khususnya Bumiputera yang berpotensi tinggi termasuk Zus Coffee, Bateri.com dan Lapasar.

Baca juga: Isu data Khairul Aming makin serius, Fahmi arah MCMC siasat segera