PM Anwar letak industri kreatif sebagai enjin ekonomi baharu, tubuh Majlis Ekonomi Jingga

Oleh MALAYSIADATELINE

Sektor ekonomi kreatif kini diberi nafas baharu apabila kerajaan menubuhkan Majlis Ekonomi Jingga (MEJ) sebagai badan tertinggi yang bakal menerajui pembangunan industri berasaskan kreativiti, budaya dan inovasi di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di media sosial berkata, langkah itu akan memperkukuh ekosistem ekonomi jingga secara lebih menyeluruh.

Anwar berkata, penubuhan MEJ bertujuan memperkukuh hala tuju ekonomi kreatif negara, selain berfungsi sebagai badan penasihat kepada kerajaan dalam merangka dasar, strategi serta pelaksanaan agenda ekonomi jingga secara menyeluruh.

“MEJ juga bertindak sebagai badan penasihat ekonomi jingga kepada Kerajaan dan meneraju dalam perancangan, pelaksanaan serta pemantauan ke atas ekonomi jingga negara secara menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, antara fungsi utama majlis itu ialah mengenal pasti isu dan potensi dalam sektor ekonomi kreatif bagi membolehkan dasar serta strategi nasional dirangka secara lebih tersusun.

Menurut Anwar, kerajaan mahu memastikan sektor ekonomi jingga terus berkembang sebagai antara pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negara dengan memberi penekanan kepada inovasi, kreativiti dan kerjasama pelbagai pihak.

“Adalah menjadi hasrat saya agar badan tertinggi ini berupaya memacu anjakan yang inklusif, sejajar dengan gagasan Malaysia MADANI yang mendepankan nilai kemanusiaan, daya cipta serta kemampanan ekonomi,” katanya.

Ekonomi jingga merujuk kepada sektor yang berasaskan kreativiti, budaya, seni, kandungan digital, media, hiburan dan harta intelek, yang dilihat berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Baca juga: Kementerian Kewangan perjelas isu kes eFishery, dedah strategi pulihkan pelaburan