Manifesto yang diumumkan Pakatan Harapan (PH) semalam bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 lebih menyeluruh dengan inisiatif yang ditawarkan turut diperluas meliputi kumpulan M40.
Pengerusi PH Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata menerusi manifesto bertemakan “Negeri Sembilan Kekal Harapan”, yang menggariskan 10 komitmen utama itu akan membolehkan sebahagian besar rakyat di negeri ini menikmati kesejahteraan.
“Kali ini kita bukan hanya menjaga B40 sahaja, tetapi juga golongan M40 supaya pemberian ini lebih bermakna kepada sebahagian besar rakyat di Negeri Sembilan, yang penting rakyat tahu apa yang ingin kita berikan kepada mereka.
“Kalau dulu kita terhad kepada golongan B40, sekarang semua inisiatif dan akses pendidikan dibuka lebih luas kepada anak-anak M40,” katanya kepada pemberita selepas program tinjauan mesra bersama masyarakat India di Ladang Sekang, Linggi, di sini hari ini.
Pada PRN kali ini, Aminuddin yang juga Menteri Besar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi dan dicabar penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Faizal Ramli dan Zamri Md Said, 54, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR negeri berkata PH mempunyai rekod dan prestasi cemerlang dalam melaksanakan dan mengotakan janji kepada rakyat, serta bukan sekadar mengemukakan manifesto untuk meraih undi semata-mata.
Beliau berkata pengalaman mentadbir negeri sejak 2018 membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam merealisasikan pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan untuk rakyat seperti yang pernah dijanjikan.
“Melaksanakan tanggungjawab ini lebih berat daripada sekadar bercakap. Namun, kita telah buktikan sebelum ini bahawa banyak perkara yang dijanjikan kita berjaya laksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson sekali lagi merayu kepada semua pihak supaya berkempen secara matang dan mengelakkan isu-isu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat di Negeri Sembilan
DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian, manakala undi awal pada 28 Julai ini.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9. — BERNAMA.
Baca juga: KDN Sasar Kutipan Hasil JIM Melebihi RM5 Bilion Pada 2026 – Saifuddin Nasution