Program MADANI Kita adalah sebuah ikhtiar dalam memastikan setiap perkhidmatan kerajaan benar-benar turun ke lapangan dengan mendekati rakyat dan menyelesaikan permasalahan mereka secara langsung.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui mendengar sendiri kegusaran rakyat yang masih bergelut dengan kos sara hidup dan memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan apabila turut bertemu secara langsung dengan mereka.
Sehubungan dengan itu, beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Madani akan terus memperluaskan pelbagai ikhtiar termasuk melalui Jualan Rahmah, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA dengan tujuan untuk membantu meringankan beban rakyat.
Hal ini kerana Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu sentiasa percaya bahawa amanah memimpin bukan sekadar untuk membangunkan gedung dan prasarana, tetapi memastikan setiap keluarga dapat hidup dengan lebih sempurna.
“Apabila turun bertemu rakyat, saya mendengar sendiri kegusaran seorang ibu yang bergelut dengan kos sara hidup, seorang bapa yang berhempas pulas mencari rezeki, serta warga emas yang hanya mengharapkan sedikit kelegaan untuk meneruskan kehidupan.
“Suara merekalah yang sentiasa menjadi pedoman dalam setiap keputusan yang kita ambil. Menyedari hakikat itu, Kerajaan MADANI terus memperluas pelbagai ikhtiar seperti Jualan Rahmah, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA bagi membantu meringankan beban rakyat.
“Mungkin bagi sesetengah pihak bantuan ini kelihatan kecil, namun bagi keluarga yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup, nilainya amat besar. Insya-Allah, menjelang Belanjawan 2027, usaha meningkatkan taraf hidup rakyat akan terus menjadi keutamaan,” katanya menerusi perkongsian di platform Facebook.
Difahamkan, perkongsian tersebut dimuat naik oleh Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya selepas beliau menghadiri Program MADANI Kita di Perak, baru-baru ini.
Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menambah baik bantuan, memperkukuh jaringan perlindungan sosial serta memastikan kemakmuran negara benar-benar dapat dirasai rakyat selagi kemampuan kewangan negara mengizinkan.
Baca juga: PRN NS: Manifesto PH Lebih Menyeluruh, Diperluas Kepada Golongan M40 – Aminuddin