Seorang wanita berkongsi detik cemas apabila dia dan ahli keluarganya hampir menjadi mangsa penipuan selepas menerima mesej daripada akaun WhatsApp milik ibu mereka yang dipercayai telah digodam.
Menerusi perkongsian di Threads, Nur Marini memaklumkan dia pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa apabila menerima mesej daripada nombor telefon ibunya sendiri yang meminta bantuan membuat pembayaran menggunakan kod DuitNow QR.
Menurutnya, mesej itu turut disertakan kod QR pembayaran TikTok Shop bernilai lebih RM1,000, selain ahli keluarga lain menerima permintaan dengan jumlah berbeza.
Bagaimanapun, dia mula berasa curiga lalu menghubungi ibunya terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian.
“Nasib baik saya tergerak hati nak telefon dulu mak saya tanya beli apa sampai lebih RM1,000.
“Terkejutnya mak cakap mana ada. Perbualan seperti di bawah ini pun tak ada dalam WhatsApp mak saya. Macam dah dipadam,” katanya.
Wanita itu berkata, dia, abang dan kakak iparnya menerima mesej yang hampir sama daripada nombor WhatsApp ibu mereka, namun kandungan perbualan itu langsung tidak wujud dalam telefon ibunya.
Perkara itu menimbulkan kebimbangan bahawa akaun WhatsApp berkenaan mungkin telah dipaut atau diakses oleh pihak tidak bertanggungjawab menggunakan peranti lain.
Susulan kejadian itu, wanita berkenaan menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak terus membuat sebarang pembayaran walaupun permintaan diterima daripada nombor telefon ahli keluarga sendiri.
Dalam kemas kini terbaharu, dia memaklumkan individu yang dipercayai bertanggungjawab telah dikenal pasti.
“Sudah dikenal pasti. Mujur kami tinggal jauh daripada mak, jadi sempat minta tolong orang yang berada berdekatan untuk periksa keadaan dia. Beware guys,” katanya.
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menghubungi ahli keluarga melalui panggilan telefon atau saluran lain bagi mengesahkan sebarang permintaan wang, terutama jika melibatkan jumlah yang besar atau kod pembayaran DuitNow QR.
Baca juga: Suara rakyat sentiasa jadi pedoman dalam mengambil setiap keputusan – PM Anwar