Kerajaan salur RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi, Anwar imbau jasa tokoh ulama

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi bagi memperkukuh usaha penyelidikan dan pengembangan pemikiran Allahyarham Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau merasmikan Seminar Pemikiran Yusuf Al-Qaradawi dan Institut Pemikiran Al-Qaradawi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, semalam.

Dalam ucapannya, Anwar turut mengimbau detik awal beliau berinteraksi dan bekerjasama dengan Almarhum Yusuf Al-Qaradawi ketika aktif bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Menurut beliau, Al-Qaradawi merupakan seorang tokoh yang membawa pembaharuan dalam dunia pemikiran Islam, selain menampilkan pendekatan yang terbuka dan sederhana dalam mendepani cabaran semasa.

“Saya menimba sedikit pengalaman yang boleh saya simpulkan bahawa sosok Al-Qaradawi sebagai pencetus perubahan atau zeitgeist, penggerak atau semangat zaman yang menzahirkan keterbukaan dalam pemikiran serta pendamba pembaharuan dalam menghadapi cabaran kontemporari,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar turut berkongsi bahawa ketika kebangkitan gerakan Islam sekitar awal 1980-an, Al-Qaradawi pernah mengutuskan satu risalah kepada kepimpinan ABIM yang menasihatkan pertubuhan itu supaya menjauhi aliran ekstrem dan terus berpegang kepada prinsip wasatiyah atau kesederhanaan.

Beliau berkata, nasihat tersebut memberi kesan yang besar ketika berdepan perkembangan pelbagai aliran pemikiran yang kurang terbuka menerima pandangan berbeza.

“Nasihat ini bagi saya amat penting sewaktu meningkatnya semangat dan aliran pemikiran yang tidak terbuka menerima pandangan yang berbeza pada ketika itu,” katanya.

Anwar berkata, beliau secara peribadi amat terhutang budi kepada Al-Qaradawi atas sumbangan idea, sokongan moral dan persahabatan yang terjalin sejak sekian lama.

Beliau berharap penubuhan institut berkenaan serta sokongan kerajaan akan menjadi platform untuk memperkukuh penyelidikan ilmiah mengenai pemikiran Al-Qaradawi, sekali gus membawa manfaat kepada masyarakat dan umat Islam.

Baca juga: Suara rakyat sentiasa jadi pedoman dalam mengambil setiap keputusan – PM Anwar