Konflik Asia Barat beri kesan, RON95, RON97 naik 20 sen, diesel pula melonjak 35 sen

Oleh MALAYSIADATELINE

Harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing meningkat sebanyak 20 sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi naik 35 sen seliter bagi tempoh 23 hingga 29 Julai 2026 susulan peningkatan harga minyak mentah dunia dan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, harga baharu RON97 ditetapkan pada RM4.20 seliter berbanding RM4.00 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi meningkat kepada RM3.62 seliter daripada RM3.42.

Bagi diesel tanpa subsidi pula, harga dinaikkan kepada RM4.42 seliter berbanding RM4.07 sebelum ini.

Menurut MOF, kenaikan itu dibuat berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) yang mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dunia.

Katanya, harga minyak mentah Brent meningkat sebanyak 16 peratus sepanjang minggu lalu selepas konflik antara Amerika Syarikat dan Iran kembali memuncak susulan berakhirnya tempoh gencatan senjata.

Selain itu, sekatan terhadap perkapalan serta pengurangan aliran kapal melalui Selat Hormuz turut meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan petroleum global.

MOF berkata, kenaikan harga minyak mentah turut dipengaruhi paras inventori global yang semakin ketat serta ancaman gangguan penghantaran minyak dari Arab Saudi.

“Pasaran petroleum global dijangka kekal tidak menentu selagi penyelesaian konflik belum dimuktamadkan.

“Meskipun usaha untuk menghidupkan semula rundingan dan cadangan gencatan senjata telah mengehadkan sebahagian kenaikan harga, perkembangan tersebut masih belum meredakan kebimbangan pasaran terhadap risiko gangguan bekalan,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, kerajaan menegaskan harga petroleum bersubsidi di bawah program BUDI MADANI kekal tidak berubah.

Harga RON95 (BUDI95) dikekalkan pada RM1.99 seliter, manakala Diesel (BUDI Diesel) kekal RM2.10 seliter.

Bagi pengguna di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), harga kekal RM2.05 seliter, sementara Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula dikekalkan pada RM2.15 seliter.

Kerajaan MADANI turut menggesa rakyat mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemah dengan merancang perjalanan secara lebih cekap bagi membantu mengurangkan penggunaan bahan api dan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi negara.

Baca juga: PM Anwar tak gentar ‘diugut’, tegas pendirian Malaysia sekat warga Israel masuk