“Kalau rumah kita dah elok, kenapa nak robohkan?”
Itu analogi digunakan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika mengajak rakyat Negeri Sembilan mengekalkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung 1 Ogos ini.
Menerusi hantaran di Facebook selepas program Jelajah Kekal HARAPAN Negeri Sembilan di Pusat Bandar Senawang Taipan 2, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama pasukan Pakatan Harapan (PH) telah membawa banyak pembangunan dan manfaat kepada rakyat.
Menurut beliau, perkara yang baik perlu diteruskan, manakala kelemahan yang ada perlu diperbaiki, bukannya menukar kerajaan yang sedang mentadbir.
“Menteri Besar, Tok Min (Aminuddin) dan pasukan HARAPAN dah jaga Negeri Sembilan dengan baik.
“Banyak benda dah dibuat untuk rakyat. Yang baik kita teruskan, yang kurang kita baiki,” katanya daalam hantaran di Facebook.
Pada masa sama, Mat Sabu mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan pihak yang memainkan sentimen perkauman dan agama bagi menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, dalam politik, keutamaan sepatutnya diberikan kepada usaha membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat, bukannya mencetuskan perpecahan.
Mengulas kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan, beliau berkata kewujudan parti-parti berbeza seperti DAP dalam PH dan MCA dalam Barisan Nasional (BN) bukanlah isu selagi semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan bekerja untuk kepentingan rakyat.
“Saya memang tak suka politik yang suka bagi orang bergaduh sebab kaum dan agama. Kita semua rakyat Malaysia.
“Kita nak hidup aman, cari rezeki dan besarkan anak-anak dalam keadaan yang baik,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi di Negeri Sembilan supaya keluar mengundi pada 1 Ogos dan terus memberikan mandat kepada PH untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Kita kekalkan HARAPAN yang bekerja untuk rakyat,” ujarnya.
Baca juga: PM Anwar turun Negeri Sembilan, hadiri 4 program hari ini semarak kempen PRN