Sukuk Global Malaysia ‘laku keras’, catat lebihan langganan 4.7 kali

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan Malaysia berjaya mencatat satu lagi pencapaian dalam pasaran kewangan antarabangsa apabila penerbitan Sukuk Global berjumlah AS$1.5 bilion (kira-kira RM7.1 bilion) menerima lebihan langganan sebanyak 4.7 kali, dengan jumlah permintaan melebihi AS$9.5 bilion (RM44.9 bilion).

Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penerbitan itu merangkumi dua tranche iaitu AS$850 juta bagi tempoh matang 5.75 tahun dan AS$650 juta bagi tempoh matang 10 tahun.

Menurut kementerian itu, permintaan yang tinggi membolehkan kerajaan menetapkan harga pada kadar spread terendah pernah direkodkan bagi penerbitan Sukuk Global Malaysia.

“Pencapaian ini membuktikan keyakinan kukuh pelabur antarabangsa terhadap prospek ekonomi negara serta agenda pembaharuan fiskal dan ekonomi yang sedang dilaksanakan kerajaan,” menurut kenyataan itu.

MoF berkata, sambutan menggalakkan tersebut mencerminkan hasil pelaksanaan rangka kerja Ekonomi MADANI sejak tiga tahun lalu yang memberi fokus kepada pengukuhan kedudukan fiskal negara, pertumbuhan ekonomi dan pembaharuan institusi.

Kementerian itu memaklumkan, defisit fiskal negara berjaya dikurangkan daripada 6.4 peratus pada 2021 kepada 3.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.

Manakala nisbah pinjaman kerajaan menurun kepada 9 peratus daripada KDNK, berbanding 13.6 peratus sebelum ini.

Dalam tempoh sama, ekonomi Malaysia terus berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2024 dan 2025, manakala pertumbuhan bagi suku pertama 2026 direkodkan pada 5.4 peratus.

MoF turut memaklumkan kedua-dua tranche sukuk berkenaan menerima penarafan A3 daripada Moody’s Investors Service dan A- daripada S&P Global Ratings, selaras dengan penarafan kredit berdaulat Malaysia serta prospek yang stabil.

Seramai 140 pelabur antarabangsa daripada pelbagai segmen menyertai penerbitan itu, termasuk dana kekayaan berdaulat, bank pusat dan kerajaan, pengurus aset, institusi kewangan, syarikat insurans serta dana persaraan.

Dari segi geografi, tranche 5.75 tahun dilanggan oleh pelabur dari Asia (76 peratus), Eropah, Timur Tengah dan Afrika (19 peratus) serta Amerika Syarikat (5 peratus), manakala tranche 10 tahun diagihkan kepada pelabur Asia (63 peratus), Eropah, Timur Tengah dan Afrika (18 peratus) serta Amerika Syarikat (19 peratus).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, lebihan langganan yang tinggi bersama kadar spread terendah membuktikan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap prospek ekonomi Malaysia.

“Ini membuktikan bahawa agenda pembaharuan, strategi pengurusan hutang yang berhemat dan komitmen terhadap pertumbuhan mampan terus mendapat sokongan pelabur berkualiti tinggi meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar,” katanya.

Menurut MoF, hasil daripada penerbitan Sukuk Global itu akan digunakan bagi tujuan am yang patuh Syariah, termasuk membiayai projek pembangunan serta pembiayaan semula obligasi sedia ada.

Baca juga: “Jangan termakan sentimen kaum” – Mohamad Sabu rayu pengundi kekalkan PH di Negeri Sembilan