Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) perlu menjadi noktah kepada episod hitam pengurusan institusi itu serta permulaan kepada TH yang lebih telus, berintegriti dan berpaksikan kepentingan umat Islam.
Dalam hantaran Facebook hari ini, Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata laporan RCI itu merupakan detik penting buat negara kerana mendedahkan hakikat penyelewengan sebuah institusi amanah umat Islam, yang didakwa dijarah oleh kelompok tertentu.
Beliau berkata rakyat berhak mengetahui kebenaran memandangkan setiap ringgit yang disimpan di TH ialah hasil titik peluh dan jerih payah rakyat biasa untuk menyempurnakan rukun Islam kelima.
“Mesti ditegaskan bahawa setiap ringgit yang disimpan di institusi tersebut bukan wang lebihan. Malah, ia hasil daripada menoreh getah, mengusahakan bendang dan kebun, memandu teksi, berniaga kecil-kecilan serta bermacam lagi jerih payah rakyat biasa dengan satu impian besar, iaitu menjadi tetamu Allah.
“Justeru, apabila amanah sebesar itu diperlakukan dengan cuai, yang dikhianati bukan semata-mata imej sebuah institusi, tetapi harapan dan doa jutaan umat Islam yang menyimpan dengan sabar bertahun-tahun,” katanya.
Muhammad Kamil berkata isu berkenaan bukan masanya untuk menutup kelemahan, mempertahankan imej mana-mana pentadbiran terdahulu atau melindungi mana-mana individu atau kelompok yang terlibat.
Beliau berkata Kerajaan MADANI memilih untuk mendedahkan kebenaran berhubung perkara itu meskipun sedar terdapat pihak yang lebih selesa jika episod hitam berkenaan terus tersimpan dan dilupakan rakyat.
“Tetapi kita mesti berani mengaku bahawa kesilapan dan ketelanjuran telah pun berlaku. Lantaran itu, tugas kita sekarang adalah memastikan mereka yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan.
“Semoga laporan RCI ini menjadi noktah kepada episod hitam tersebut dan menjadi permulaan kepada sebuah institusi Tabung Haji yang lebih telus, berintegriti dan benar-benar berpaksikan kepentingan umat Islam,” katanya. — BERNAMA.
Baca juga: PM Anwar terima kunjungan hormat Yasushi Kudo, pererat hubungan Malaysia-Jepun