Kerajaan Madani komited untuk melaksanakan segera tujuh insiatif bagi membantu warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sambutan Hari Peneroka, tempoh hari.
Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu turut meminta agar laporan perkembangan berkaitan dengan semua inisiatif tersebut dilakukan pada setiap bulan supaya pelaksanaannya tidak tertangguh dan berjalan seperti dirancangkan.
Menerusi perkongsian di platform Facebook, Anwar memaklumkan bahawa perkara tersebut disampaikan beliau semalam dalam Program Santai Perantau sempena 70 Tahun FELDA yang diadakan di Perkarangan Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.
“Tiba ke ibu negara usai berakhir acara-acara di Pulau Pinang, dan langsung ke Jalan Semarak untuk bersama anak-anak perantau dan seluruh keluarga besar FELDA yang berhimpun sempena 70 Tahun FELDA.
“Seronok dapat bertemu, bersalaman dan berbual santai dengan mereka yang datang dari pelbagai pelosok tanah air. Pertemuan secara santai pada malam ini terasa seperti pertemuan sebuah keluarga besar.
“Dapat berkongsi dan mendengar kisah, pengalaman serta harapan mereka untuk masa depan FELDA,” kata pemimpin nombor satu negara itu menerusi perkongsian dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
Mengulas lanjut, Anwar dalam perkongsian sama menjelaskan bahawa pelaksanaan insiatif tersebut memberi keutamaan kepada projek pembinaan perumahan Generasi Kedua dan penyelesaian isu bekalan elektrik dan air.
Beliau juga memberi jaminan bahawa amanah warga FELDA akan terus dipikul dan dipelihara dengan integriti, tatakelola yang baik serta penuh tanggungjawab demi masa depan peneroka dan generasi seterusnya.
“Bekalan elektrik sedang disegerakan, manakala penyelesaian isu air akan terus diselaraskan bersama kerajaan negeri, termasuk dengan bantuan Kementerian Kewangan jika diperlukan.
“Pindaan Akta FELDA juga akan dipercepat, saya telah arahkan supaya ia dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini,” ujarnya berharap imej FELDA yang pernah menjadi antara model pembangunan luar bandar terbaik di dunia kembali pulih.
Baca juga: Semangat Patriotik, Literasi Digital Perlu Sentiasa Dipupuk Dalam Kalangan Belia – Fahmi