Golongan belia khususnya pelajar sekolah menengah perlu sentiasa dipupuk dengan semangat patriotik serta dibekalkan pemahaman mendalam mengenai literasi digital dan etika penggunaan media sosial bagi mendepani cabaran zaman moden.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata penegasan terhadap aspek kenegaraan dan sejarah amat penting bagi memastikan setiap warganegara memahami tanggungjawab mereka dalam membantu memajukan negara.
“Sebagai seorang anak watan, sebagai seorang warganegara, kita juga ada tanggungjawab dan perlu faham tentang sejarah serta tugas dan tanggungjawab kita untuk menjadi seorang rakyat Malaysia yang boleh membantu negara maju ke depan.
“Saya ambil peluang itu untuk juga mendengar soalan-soalan, pandangan daripada anak-anak tingkatan enam dan saya lihat rata-rata mereka mempunyai motivasi tinggi dan memahami cabaran termasuk berita palsu, isu kesihatan mental, media sosial, dan ramai juga yang bertanya tentang masa depan dengan adanya lambakan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni 60 pelajar tingkatan enam selepas sesi sembang santai program Pentarama X Kelab Malaysiaku dan Kempen Internet Selamat di Pejabat Penerangan Daerah Jempol, di sini hari ini.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu mengumpulkan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kikir, SMK Seri Perpatih dan SMK Datuk Mansor di sekitar Parlimen Jempol.
Turut hadir, Ketua Pengarah JaPen Erwin Khairul Ahmad dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Sembilan Faisal Hamdi Mohammed Ghouth.
Fahmi berkata program berteraskan pendekatan ‘didik dan hibur’ itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, malah menjadi platform interaktif dua hala untuk kepimpinan kementerian mendengar pandangan serta aspirasi generasi muda.
Sementara itu, Erwin Khairul berkata program Pentarama X Kelab Malaysiaku kini diperluas bagi mempromosikan mesej kemerdekaan, perpaduan serta persediaan menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di peringkat sekolah.
Setakat ini, katanya terdapat 850 Kelab Malaysiaku di seluruh negara.
Pentarama merupakan unit persembahan di bawah Jabatan Penerangan (JaPen) yang menyampaikan dasar kerajaan, maklumat rasmi, dan nilai patriotisme melalui nyanyian, tarian, serta drama.
— BERNAMA
Baca juga: Mangsa Bencana Layak Tuntut BWI Empat Kali Setahun Dengan NADMA