Ingat nak cuci mata, sekali isteri hadiahkan motosikal idaman sempena hari lahir!

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang lelaki tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut apabila menerima hadiah motosikal idamannya daripada isteri sempena ulang tahun kelahirannya.

Menerusi perkongsian di Threads, lelaki dikenali sebagai Sayuti Yaacob menceritakan bahawa isterinya mengajaknya singgah ke sebuah kedai motosikal ketika mereka dalam perjalanan ke sebuah pusat beli-belah.

Pada mulanya, dia menyangka mereka hanya sekadar melihat-lihat motosikal yang menjadi idamannya. Namun, sebaik tiba di premis berkenaan, jurujual terus menyerahkan geran motosikal kepadanya.

Menurutnya, dia kemudian dimaklumkan bahawa motosikal tersebut sebenarnya sudah lama dibeli oleh isterinya dan hanya menunggu hari lahirnya untuk diserahkan sebagai kejutan.

“Lepas sampai kedai, jurujual terus bagi geran. Rupa-rupanya isteri aku dah beli lama, tunggu hari jadi baru nak bagi.

“Dia dah rancang lama, aku je yang tak perasan,” tulisnya.

Video yang dimuat naik turut memaparkan reaksi lelaki itu yang beberapa kali melihat motosikal berkenaan sebelum menyedari ia benar-benar menjadi miliknya.

Malah, dia sempat berseloroh bahawa selepas ini dia pasti lebih rajin menghantar isterinya ke pejabat sebagai tanda penghargaan atas hadiah istimewa tersebut.

“Lagi bertambah rajinlah nak hantar isteri pergi dan balik kerja, hehe,” tulisnya.

Baca juga: “Saya bangga mommy dan daddy ada bersama” – Luahan Fatima sentuh hati ramai