Satu perkongsian di media sosial yang mendakwa warga asing turut membeli barangan di Program Jualan Rahmah MADANI mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads, Cek Dhia meluahkan rasa terkejut selepas mendakwa melihat ramai warga asing beratur membeli barangan di sebuah lokasi Jualan Rahmah.
“Jualan Rahmah tu untuk warganegara Malaysia je kan? Tapi kenapa ramai warga asing yang bersesak membeli?” soalnya menerusi hantaran tersebut.
Menjawab persoalan itu, akaun rasmi Jualan Rahmah Putrajaya menjelaskan bahawa program berkenaan sememangnya hanya dikhaskan kepada warganegara Malaysia.
“Betul, program ini untuk warganegara Malaysia sahaja.
“Boleh maklumkan kepada KPDN negeri masing-masing mengenai premis atau lokasi Jualan Rahmah yang terlibat. Terima kasih,” menurut balasan akaun rasmi itu.
Pengguna berkenaan kemudian memaklumkan bahawa dia akan membuat laporan selepas mendakwa kebanyakan individu yang beratur ketika itu bukan warganegara Malaysia.
Susulan itu, akaun rasmi Jualan Rahmah Putrajaya mengesyorkan orang ramai mengemukakan aduan menerusi Aplikasi INFO JUALAN RAHMAH MADANI dengan menyertakan maklumat lengkap berkaitan lokasi dan isu yang berlaku.
Di ruangan komen, rata-rata netizen mencadangkan supaya proses pengesahan identiti diperketatkan bagi mengelakkan penyalahgunaan program subsidi tersebut.
“Patut tetapkanlah. Nak masuk ke tempat Jualan Rahmah, tunjuk IC (kad pengenalan). Bukan warganegara, halau saja keluar. Langsung tak ada pengawasan.
“Boleh dah semak IC kalau nak masuk. Hari itu dekat kaunter dua tiga kali diorang keluar masuk beli minyak paket, juruwang buat tak tahu je. Dah tegur suruh lihat aplikasi, barulah nak tengok.
“Oh, baru tahu. Hari itu bawah pejabat ramai juga yang membeli…” antara komen pengguna Threads.
Baca juga: PM Anwar umum dana awal RM5 juta untuk Strategi Semikonduktor Bumiputera