Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dana awal berjumlah RM5 juta disalurkan untuk Strategi Semikonduktor Bumiputera sebagai usaha memperluas penyertaan komuniti itu dalam industri bernilai tinggi.
Khabar gembira itu diumumkan Anwar ketika merasmikan Penang International Halal Expo (PIHEX) dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (HUBPP) semalam yang dikongsikan semula menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.
Dalam hantaran tersebut, Anwar memaklumkan penyertaan ekonomi Bumiputera di Pulau Pinang berjaya diperluaskan hasil daripada kestabilan politik, dasar yang jelas serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menekankan bahawa peningkatan penyertaan usahawan Bumiputera ini seiring dengan kemajuan ekonomi seluruh rakyat tanpa meminggirkan kaum lain.
“Tatkala merasmikan PIHEX, Program MADANI Kita 2026 Permatang Pauh serta Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang, saya tegaskan bahawa usaha mengangkat martabat Bumiputera tidak pernah bermaksud meminggirkan mana-mana kaum.
“Kerajaan, universiti, industri dan semua agensi berkaitan mesti segera menyusun langkah yang terselaras agar lebih ramai usahawan Bumiputera mampu bersaing dalam sektor berteknologi tinggi. Begitu juga dalam sektor semikonduktor.
“Sebagai hab semikonduktor serantau, Pulau Pinang harus membuka lebih banyak ruang kepada syarikat Bumiputera untuk menyertai rantaian bekalan industri bernilai tinggi melalui kerjasama, pemindahan teknologi dan pembangunan bakat,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar juga menyentuh perkembangan industri halal negara yang terus mendapat pengiktirafan dunia dengan hampir setiap pertemuan beliau dengan pemimpin luar memberitahu hasrat untuk memperluas kerjasama dengan Malaysia.
Beliau bagaimanapun mengakui bahawa ekosistem industri halal mesti diperkukuh dan tidak boleh bergantung kepada pensijilan semata-mata agar lebih banyak syarikat tempatan mampu berkembang serta Malaysia kekal sebagai peneraju halal dunia.
Baca juga: Citrawarna kembali selepas tujuh tahun, Anwar mahu warisan budaya terus jadi kebanggaan negara