Peluang lebih ramai rakyat tonton F1! PM Anwar pertimbang cadangan Tiket Madani

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertimbangkan cadangan bagi memperkenalkan Tiket Madani Formula One (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air agar lebih ramai rakyat dapat menyaksikan perlumbaan berprestij itu.

Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu memaklumkan bahawa beliau menerima banyak maklum balas daripada rakyat berhubung harga tiket perlumban bakal diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini.

Sehubungan dengan itu, kerajaan akan mengkaji penjualan Tiket Madani dalam usaha memenuhi permintaan masyarakat untuk menawarkan harga rendah dan lebih mesra dengan poket rakyat.

Perkara tersebut dijelaskan Anwar dalam program ramah mesra bersama Pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPPK) di Dewan The Grand, Lukut, semalam yang mana rakamannya turut dikongsikan di platform Facebook.

“(Ada rungutan) tiket mahal. Tetapi nak buat macam mana, sebab harga perlumbaan antarabangsa. Ramai yang tanya, PMX ada tak Tiket Madani? Sebab kalau nak beli, tiket yang paling murah RM200. Bagilah Tiket Madani, ada tak?”

“Insya-Allah tetapi jauh sikitlah duduknya, jangan pula bayar harga tiket Madani tetapi hendak duduk depan. Tak kiralah duduk dekat mana, yang penting kita sama-sama dapat tengok Formula 1 di Sepang,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya,

Terdahulu, Malaysia diumumkan menjadi tuan rumah perlumbaan yang dinamakan secara rasmi sebagai Formula One (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air dijadualkan berlangsung di SIC pada 2 hingga 4 Oktober ini.

Baca juga: Petronas Perjelas Peranan Dalam Litar Antarabangsa Sepang, Jualan Tiket F1