Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini menjelaskan walaupun syarikat berkenaan memegang hak penamaan Litar Antarabangsa Sepang, litar berkenaan sebaliknya dimiliki oleh Sepang International Circuit Sdn Bhd iaitu syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Dalam kenyataannya, syarikat minyak dan gas nasional itu memaklumkan litar berkenaan juga dikendalikan oleh sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Oleh kerana Petronas bukanlah penganjur acara itu, syarikat ini tidak mengurus, mengawal atau mempunyai akses kepada peruntukan, penjualan mahupun pengedaran tiket berkaitan.
“Penjualan tiket itu diuruskan sepenuhnya oleh penganjur acara dan (menerusi) saluran yang dibenarkan,” menurut Petronas.
Penjelasan itu dibuat itu berikutan minat orang ramai terhadap penganjuran acara Formula Satu (F1) Grand Prix Bahrain Gulf Air di Sepang yang dijadual berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober 2026.
Perlumbaan di Malaysia dijadual berlangsung dalam tempoh masa di antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura dalam kalendar F1 berkenaan.
Kali terakhir Malaysia menganjurkan perlumbaan Grand Prix F1 adalah pada 2017, namun Litar Antarabangsa Sepang kekal dalam kalendar MotoGP berkenaan serta kekal memegang lesen Gred 1 FIA yang diperlukan untuk menjadi tuan rumah perlumbaan F1.
Petronas merupakan penaja pasukan Mercedes F1 sejak 2010 dan pada Oktober 2023 telah memperoleh hak penamaan bagi Litar Antarabangsa Sepang bagi tempoh selama tiga tahun.
Musim F1 2026 pada awalnya dijadualkan membabitkan 24 perlumbaan dan tambahan perlumbaan gantian dijangka membantu dari segi komitmen penyiaran selain menjadikan jumlah keseluruhan kembali kepada 22 atau 23 perlumbaan. — BERNAMA.
Baca juga: F1 kembali ke Sepang lepas 9 tahun, ini manfaat kepada Malaysia yang ramai tak tahu