Penularan rakaman nyanyian lagu Panggilan Haji oleh beberapa penyanyi terkenal tanah air sudah menjadi perkara ‘wajib’ setiap kali tiba musim perayaan Aidiladha.
Bukan sahaja membawakan tema bertepatan dengan Hari Raya Haji, video muzik lagu nasyid tersebut turut memaparkan gelagat penyanyi yang mencuit hati peminat.
Paling mencuri perhatian ramai sudah tentunya gelagat anggota kumpulan Ruffedge terutamanya Mode yang tampak begitu bersemangat menyanyikan lagu Panggilan Haji.
Ramai juga pengguna media sosial menganggap persembahan serta nyanyian Mode Ruffedge dalam lagi tersebut cukup setanding dengan penyanyi lain iaitu Anuar Zain.
Terbaharu, Mode Ruffedge atau nama sebenarnya Syed Mohammad Syed Abdullah kembali menjadi sorotan selepas membuat kemunculan semula di platform TikTok.
Menerusi satu hantaran video, penyanyi yang digelar sebagai ‘Abang Baju Oren’ itu sempat mendendangkan semula lagu tersebut sebagai pengubat rindu buat peminat.
Penyanyi berusia 48 tahun itu juga menggunakan platform miliknya untuk menjemput orang ramai segera mendaftar haji agar tidak perlu menunggu ‘panggilan’ terlalu lama.
“Gelak-gelak juga tetapi sudah seratus tahun giliran menunggu. Jadi daftarlah untuk ibadah haji cepat-cepat ya. Saya Mode mewakili kumpulan Ruffedge ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha,” katanya.
Lagu Panggilan Haji nyanyian Nur Asiah DJamil ini dipopularkan semula oleh anggota kumpulan Ruffedge, Anuar Zain, Waheeda, Misya Omar, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ezlynn.
Tinjauan mendapati rata-rata pengguna TikTok membanjiri ruangan komen hantaran tersebut dengan pujian berhubung penampilan Mode yang katanya semakin menarik.
Ramai juga pengguna meninggalkan komen secara berseloroh menegur nyanyian terbaharu Mode yang kurang harakat dan gelengan kepala berbanding rakaman lama.
Baca juga: Imej terus memulih, terkejut tahu Malaysia disenarai 10 negara teratas paling aman di dunia