“Abang ipar ‘backup’ suami taik dadah, mengaku adiknya baik dan ini ujian Tuhan”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita langsung tidak menyangka, lelaki dipilihnya sebagai suami rupanya mempunyai sisi gelap yang mampu meruntuhkan rumah tangga mereka.

Lebih memburukkan keadaan, adik-beradik suaminya sering menyebelahi lelaki itu setiap kali berlaku konflik dan memintanya bersabar tanpa menyelesaikan masalah.

Sudah tidak mampu berdiam diri, berikut perkongsian wanita berkenaan mengenai satu kejadian yang mengubah perjalanan hidupnya dan anak-anak buat selamanya.

“Bukan nak bercerita tentang perkara buruk, jijik atau yang tiada pengajaran. Hanya mahu berkongsi kisah silam. Sebenarnya saya suka sangat tengok watak lelaki atau suami yang baik, romantis, rajin dan berkemampuan. Seperti yang banyak ada dalam perkongsian di sosial media. Betul, lelaki yang baik itu ada sahaja.

“Apabila nak bercerita, saya terbayang pula anak lelaki yang baru bersunat. Semoga dia menjadi anak yang soleh, kelak. Saya sudah sempurnakan aqiqah dua kambing menggunakan aplikasi digital tempahan di Mekah serta membawa dia bersunat di klinik. Alhamdulillah, bersyukur sebab boleh buat sendiri tanpa suami.

“Biasa ayah yang bawa anak bersunat, ini ibu. Sekarang juga mudah nak tahu teknik apa yang sesuai melalui perkongsian di media sosial. Saya pilih sunat menggunakan teknik ‘clamp’ berbanding ‘laser’. Pengalaman ibu dan anak yang sangatlah istimewa walaupun ada juga cemasnya. Saya tengok sepenuhnya apa yang doktor lakukan.

“Saya juga yang merawat anak waktu pantang. Senang, teknik ini tak perlu guna kain pelikat ikat atas. Mengenai kisah suami tak berguna itu, haraplah tidak menurun ke anak semua perangai buruk tersebut. Selepas kami menikah, baru tahu dia rupanya tiada pekerjaan. Saya keluar kerja, dia di rumah. Katanya kerja secara atas talian.

“Rupanya banyak menonton filem dan melanggan perkara yang tak senonoh sahaja. Saya pernah periksa telefon suami dan padam banyak video yang tak senonoh. Tak lama kemudian saya periksa balik, makin banyak pula yang dia simpan. Gila sekejap rasanya. Selepas itu, saya terjumpa pula bekas hisap syabu dalam begnya.

“Siap dengan pek kecil kristal dadah pula itu. Selamba sahaja suami kata kawan dia punya. Saya buanglah. Semakin lama, semakin banyak barang haram itu dalam beg sandang dia. Haram jadah. Saya mesej abang ipar beritahu hal ini. Nak tahu apa dia balas? ‘Semoga yang baik-baik untuk dia. Dia anak yang baik, jadi ini ujiannya’.

“Abang ipar minta aku bersabar dan doakan suami agar berubah. Katanya ada yang boleh berhenti ambil benda itu. Begitulah, kadang-kadang isteri itu lebih kenal suami berbanding keluarganya. Mengadu pula kepada adik ipar. Jawapannya adalah, ‘Aib suami jangan diceritakan kepada orang. Ada orang, suaminya lagi teruk’.

“Rumah, kereta serta segala keperluan termasuklah nak ajak pergi ke mana-mana, semuanya duit saya. Tak tahu kenapa saya masih simpan suami. Adakah sebab nak kekalkan status perkahwinan? Tetapi selepas kami ada anak, saya pulangkanlah dia pada keluarganya yang sangat menyayanginya. Itu pun selepas berlaku sesuatu.

“Kejadian itu antara yang paling teruk pernah berlaku. Suami pernah jadikan rumah kami sarang maksiat dengan mengajak orang hisap dadah dan buat perkara yang tak senonoh. Waktu itu saya balik kampung berpantang. Agaknya perlu bersabar lagi ke? Rasa macam nak laporkan kepada polis. Tetapi malas nak panjangkan cerita.

“Saya hanya laporkan kepada pejabat agama untuk buat permohonan cerai. Maka, jadilah saya ibu tunggal yang ditinggalkan. Tak tahulah kalau ada orang lain yang mahu bekas suami. Mungkin ada, sebab dia kacak dan berbadan tegap.” Kongsi wanita berkenaan menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Suami siap cop aku perasan lebih, penat aku mengadu bapa mentua menggatal masa dia tak ada kat rumah”