Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi kembali mencuri perhatian ramai selepas memuat naik perkongsian mengenai doa dan perhubungan di akaun media sosial miliknya baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di Instagram Story, Abby berkongsi semula gambar mengandungi petikan islamik berhubung konsep dan kuasa doa yang mana ia akan termakbul di masa tepat dengan izin Allah.
Sehubungan itu, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan mengirimkan doa dengan harapan anaknya berjaya keluar daripada perhubungan yang disifatkannya sebagai toksik atau tidak sihat.
Menurut pelakon yang berusia 48 tahun itu, perkongsian tersebut perlu dimuat naik di media sosial supaya mana-mana individu bertindak memakinya sebelum ini berpuas hati selain turut serta mendoakan anaknya.
“Ya, saya doakan anak saya berjaya keluar dari hubungan toksik itu. Tulis dekat sini biar mak cik-mak cik yang maki hamun sepanjang zaman itu berpuas hati. Cepat doakan sama-sama.
“Anak saya perlu diselamatkan dari hubungan toksik itu. Aminkan ya,” katanya dalam perkongsian tersebut tanpa menyebut sebarang nama anaknya yang dikirimkan doa sedemikian.
Perkongsian tersebut bagaimanapun dipercayai ditujukan kepada anak perempuannya, Marissa Dania Hakim yang mendirikan rumah tangga bersama lelaki berstatus suami orang sebagai isteri kedua.

Hal ini berikutan Abby pernah berkongsi tangkap layar memaparkan komen ditinggalkan netizen yang berharap supaya Marissa meninggalkan kehidupan berpoligami jika wanita berusia 20 tahun itu tidak bahagia.
Rata-rata pengguna media sosial berpendapat bahawa Marissa masih berpeluang membina masa depan yang lebih cerah memandangkan usianya masih muda malah rupa parasnya juga menarik.
Abby juga dilihat bersetuju dengan komen sedemikian dan mengatakan bahawa seseorang wanita itu tidak perlu membuang masa dan merugikan diri sendiri dengan mendirikan rumah tangga bersama suami orang.
Baca juga: Artis sertai jemaah tabligh tapi masih pergi kelab malam