Pelakon, Abby Abadi menegaskan bahawa hantaran yang dimuat naik di akaun media sosial miliknya hanya dibuat berkaitan dengan anaknya sendiri selain tidak berminat bercakap tentang orang lain.
Menerusi satu perkongsian di platform Threads, pemilik nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan itu juga mengakui perhatiannya kini tertumpu kepada anak perempuannya iaitu Marissa Dania Hakim.
Abby menjelaskan bahawa dirinya sedang menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu untuk membantu Marissa yang kini berusia 20 tahun untuk keluar daripada situasi tertentu dialaminya sekarang.
Selebriti berusia 47 tahun itu tidak memberitahu secara terperinci berhubung situasi tersebut namun berharap agar anaknya pandai mengatur kehidupannya sendiri selepas semua masalahnya selesai.
“Saya tak berminat bercakap fasal org lain. Tumpuan dan perhatian saya hanya kepada anak, Marissa Dania untuk dia keluar dari ‘keadaan’ sekarang. Cukuplah dengan makian dan cacian mereka yang ‘terpaling sempurna’ selama ini.
“Harap hinaan dan caci maki itu buat anak saya tetapkan hatinya untuk tidak berada dalam ‘situasi’ yang membodohkan diri sendiri. Semua ini tentang anak saya. Tak payah pusing-pusing. Semoga anak saya bijak mengatur kehidupannya selepas ini,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Abby turut membalas komen pengguna platform Threads dengan mengatakan bahawa bimbingan daripada ibu bapa agar anak tidak melakukan kesilapan mungkin tidak sempurna.
Walau bagaimanapun, ibu bapa memiliki tanggungjawab seumur hidup untuk memastikan orang sekeliling mereka bahagia selain tidak bersetuju bahawa peranan penjaga selesai selepas anak-anak berkahwin.
“Memang menjadi tanggungjawab seumur hidup untuk memastikan anak-anak dan orang sekeliling kita bahagia. Tak tahu kenapa ada yang cakap kalau anak sudah kahwin, tanggungjawab ibu bapa sudah selesai.” Kesalnya.
Terdahulu, Marissa mula menjadi sasaran kecaman orang ramai apabila melarikan diri untuk menikah dengan suaminya iaitu Ahmad Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023 tanpa pengetahuan ibu bapanya.
Pernikahan tersebut juga dilakukan tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam iaitu pempengaruh dikenali sebagai Misya Mazlan yang ketika itu sedang berada di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah umrah.
Baca juga: Ada jenama antarabangsa batal kontrak jutaan ringgit saat Neelofa umum berniqab