Adik beradik bilionair Malaysia bakal lancar projek kediaman mewah di Singapura bernilai RM8.5 bilion

Oleh KIM SYAZIE

Adik beradik bilionair Malaysia yang mewarisi empayar minyak sawit bapa mereka, dilaporkan sedang bersiap sedia untuk melancarkan menara kediaman mewah di Marina Bay, Singapura.

IOI Properties Group yang dimiliki oleh adik-beradik bilionair Malaysia, Datuk Lee Yeow Chor dan Lee Yeow Seng bakal melancarkan Marina View Residences yang mempunyai 683 unit kondominium dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM8.56 bilion.

Memetik portal Forbes, syarikat itu sedang membina menara di atas tapak seluas 7,817 meter persegi yang dibeli daripada lelongan kerajaan pada 2021 dengan harga SGD1.51 bilion (RM3.78 bilion).

“Projek itu dijangka dapat menarik permintaan daripada pembeli Singapura yang mempunyai perbelanjaan dan kuasa beli yang kukuh, disokong oleh ekonomi teguh Singapura,” kata wakil syarikat itu.

IOI Properties meneruskan pelancaran walaupun harga rumah di ibu kota Singapura mula sederhana pada suku kedua, selepas kerajaan menggandakan duti setem ke atas kebanyakan pembeli asing untuk memperlahankan harga rumah (cooling market) yang terus meningkat walaupun kadar faedah melonjak.

“Masih terdapat permintaan untuk kediaman mewah di kalangan pembeli Singapura yang kaya dan penduduk tetap,” kata Christine Sun, Naib Presiden Kanan untuk penyelidikan di perunding hartanah OrangeTee & Tie.

Syarikat itu telah meningkatkan pelaburannya di Singapura sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Selain projek Marina View Residences, yang juga akan mempunyai komponen hotel, IOI Properties bersedia untuk menyiapkan pembinaan menara pejabat IOI Central Boulevard menjelang akhir tahun ini.

Syarikat itu telah memperoleh pajakan daripada penyewa utama termasuk Amazon dan Morgan Stanley, petik laporan media tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties, Lee Yeow Seng dan abangnya Lee Yeow Chor mewarisi empayar minyak sawit dan hartanah bapa mereka, Tan Sri Lee Shin Cheng, yang meninggal dunia pada Jun 2019.

Dengan nilai bersih AS$4.6 bilion (RM21.34 bilion), adik-beradik itu menduduki tempat ke-6 dalam senarai 50 Terkaya Malaysia yang diterbitkan oleh Forbes pada Mei tahun ini.

Baca juga: Irma Hasmie pilih tutup mulut isu gambar di IG, tak mahu komen mengenai hal rumah tangga