Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berharap lebih banyak kreativiti golongan belia dapat disalurkan untuk mereka mengecapi kualiti hidup lebih baik.
Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, hal membabitkan pendidikan dan kemahiran belia merupakan keutamaannya sepanjang 22 bulan pentadbiran kerajaan PH sebelum ini.
“Beberapa agenda terhenti melibatkan pendidian anak-anak. Saya banyak memberi tumpuan kepada pendidikan termasuk kemahiran teknikal kepada lepasan SPM supaya mereka ada pekerjaan dan pendapatan lebih tinggi,” ujarnya.
Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil berkata demikian ketika ditemubual Malaysia Dateline sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, aspek pekerjaan dan kemahiran golongan belia harus disusun semula termasuk membuka peluang lebih banyak penyertaan anak muda dalam ekonomi berasaskan teknologi baharu.
Dalam masa sama, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Melaka itu berharap sistem penyampaian perkhidmatan untuk rakyat berjalan lebih cepat dan berkesan tanpa melalui proses birokrasi yang rumit.
“Saya memang berharap agar rakyat negeri Melaka dapat membuat pembaharuan, sebab itu saya melancarkan inisiatif ‘Ini Rumah Kita’.
“Hasil kemajuan negeri sebenarnya dikongsi bersama dan dinikmati rakyat secara adil. Kita harap sistem penyampaian seperti saluran bantuan diperoleh segenap lapisan rakyat yang memerlukan.
“Semua ini perlu disusun secara baik supaya akhirnya nanti rakyat dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negeri,” kata Adly lagi.