Umum tahu, hubungan Puteri Sarah Liyana dengan keluarga mentuanya sangat baik, terutama bapa mentuanya Datuk Yusof Haslam meskipun dia sudah bercerai dengan Syamsul Yusof.
Difahamkan, Puteri Sarah ketika ini duduk sebumbung dengan mentuanya itu. Atas sebab demikian, dia terus menjadi sasaran netizen yang kurang senang dengan hubungan baik dipaparkan pelakon cantik itu.
Puteri Sarah menerusi satu sesi siaran langsung di TikTok baru-baru ini mendapat komen daripada netizen yang meminta dia menjauhkan diri daripada bapa mentuanya itu kerana bersimpati dengan isteri Syamsul, Ira Kazar.
“Kau sepatutnya jauhkan diri dengan bekas bapa mentua, kesian dekat pihak sebelah,” tulis individu itu di ruangan komen.
Tidak berdiam diri, Puteri Sarah yang juga ibu tunggal dua anak membalas komen individu terbabit dengan memintanya membuang sedikit perasaan busuk hati yang ada dalam diri.
“Haha adoi…buang sikit busuk hati tu dik,” balas Puteri Sarah sambil ketawa.
Bukan itu saja, pelakon drama Hijrah Jannah itu juga mendapat komen yang mendakwa dirinya tidak memasak di rumah berbanding Ira yang kini sering berkongsi menu masakannya di media sosial.
Menjawab mengenai dakwaan itu, Puteri Sarah berkata sebagai ibu yang mempuyai anak sudah pasti dia kena memasak juga di rumah setiap hari.
“Kalau ada anak, memang hari-hari kena masak. Takkan nak bagi anak lapar,” katanya.
Terdahulu, Puteri Sarah pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah filem Munafik, Syamsul Yusof, 39, pada Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata. Namun, mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu.
Syamsul bagaimanapun sudah berkahwin kali kedua dengan Ira yang juga anak pelakon veteran, Kazar Saisi pada 6 Januari lalu di Thailand.
Baca juga: Dapat pendapatan lebih RM100k setahun! Lelaki gelandangan dilarang mengemis