Ibu bapa mana tidak terkesan apabila anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang dibuli hingga hilang nyawa.
Baik di sekolah berasrama mahupun sekolah biasa, kes buli ini tetap wujud dan sudah lama terjadi meskipun ramai terdedah dengan keburukan membuli.
Buat pelakon dan usahawan Aeril Zafrel, dia tidak merancang untuk menghantar anak-anaknya ke asrama.
Tidak hanya takut akan kes buli, Aeril sebolehnya mahu melihat mereka membesar di depan matanya lapor Kosmo! Online.
“Dari sisi pandangan saya, masuk sekolah berasrama ini ada bagusnya juga untuk anak-anak supaya mereka lebih fokus belajar dan berdikari.
“Tapi macam saya nak lebihkan masa saya dengan mereka sebab saya nak tengok mereka membesar depan mata saya sendiri.
“Kalau nak diikutkan memang takut tetapi budaya buli bukan hanya di asrama sahaja, sekolah biasa pun ada berlaku,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Bangun awal untuk hantar anak ke sekolah
Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari mendedahkan dia sendiri sanggup bangun awal pagi untuk menghantar anaknya ke sekolah meskipun mampu mengupah pemandu.
“Saya sanggup bangun 6.30 pagi sebab nak ada momen hantar anak pergi sekolah.
“Walaupun sebenarnya saya boleh sahaja upah sesiapa, tetapi pada saya itu sahaja momen dengan mereka yang saya mampu buat.
“Kalau mereka sudah dewasa tak dapat rasa semua itu, momen itu yang saya enggan terlepas,” tambahnya.
Pada masa sama Aeril memaklumkan peranan utama adalah pada ibu bapa supaya mengingatkan anak-anak agar tidak terlibat dalam gejala buli.
Malah ibu bapa perlu menerapkan setiap perbuatan ada balasannya agar anaka-anak tidak membuli seseorang.
Baca juga: “Setiap malam kena pulangkan balik”- Iman Troye dedah hanya miliki telefon bimbit di usia 17 tahun