Rakyat dikejutkan dengan pendedahan mengejutkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kini berdepan tunggakan bil elektrik yang mencecah RM61 juta.
Menurut Berita Harian, AKSB didakwa memiliki tunggakan bil elektrik kira-kira RM61 juta dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sehingga 30 Jun lalu.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, memaklumkan tunggakan bil elektrik AKSB melibatkan 198 akaun.
Manakala sebahagian daripada RM229 juta tunggakan di Kelantan membabitkan 492,174 akaun.
“Daripada jumlah ini, tunggakan tertinggi adalah daripada pengguna domestik sebanyak 411,780 akaun dengan jumlah tunggakan RM114 juta.
“Ini diikuti dengan pengguna bukan domestik (komersial dan industri) sebanyak 80,196 akaun dengan jumlah tunggakan RM53 juta, manakala baki tunggakan daripada AKSB sebanyak 198 akaun dengan jumlah RM61 juta.
“Bagaimanapun, sehingga 30 Jun lalu jumlah keseluruhan tunggakan bil elektrik di negeri Kelantan mencatatkan penurunan sebanyak RM4.33 juta berbanding 31 Disember 2024,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan melalui laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Tuan Zahari Kechik (PN-Jeli) berkenaan jumlah akaun dan nilai tunggakan bil elektrik di Kelantan sejak 2024.
Jelasnya Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan TNB sentiasa komited membantu pengguna menyelesaikan tunggakan bil elektrik melalui pendekatan mesra pelanggan.
“Pada masa sama, tindakan penguatkuasaan seperti pemotongan bekalan elektrik hanya dilaksanakan sebagai langkah terakhir setelah semua rundingan tidak berhasil.
“Pihak Kementerian menyeru pengguna terbabit supaya berhubung segera dengan TNB bagi membincangkan penyelesaian bersesuaian seperti menyertai pelan bayaran ansuran, sekali gus mengelak tindakan pemotongan atau tindakan undang-undang.
“Pemilik premis turut disaran menukar nama akaun kepada nama penyewa supaya tanggungjawab pembayaran dipindahkan kepada pengguna sebenar dan mengurangkan risiko tunggakan,” katanya.