Seorang wanita membuat keputusan untuk membiarkan jambang yang dimilikinya sejak dia mencapai akil baligh ketika berusia 11 tahun tumbuh seperti biasa.
Harnaam Kaur, 31, disahkan menghidap Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) yang menyebabkan ketidakseimbangan hormon dalam badan.
Simptom itu turut memberi kesan kepada kitaran haid, tumbuh bulu di bahagian muka dan kesukaran mengandung disebabkan penghidap PCOS mempunyai tahap hormon lelaki (androgen) lebih tinggi.
Lapor Daily Star, selepas mengetahui keadaan Harnaam, ibunya membawa dirinya ke salon untuk membuang jambang yang tumbuh di mukanya.
Bagaimanapun, proses tersebut hanya menyebabkan bulu tersebut tumbuh lebih lebat dan kehitaman.
Disebabkan itu, Harnaam membiarkan sahaja jambang itu tumbuh selepas merasai kesakitan kerana kulitnya lembut dan sensitif.
“Bermacam-macam cara saya cuba, namun tidak berhasil. Keadaan menjadi lebih teruk dan saya mula mencederakan diri sendiri.
“Saya diejek secara berterusan dan pernah mengalami mimpi buruk diserang dengan kejam oleh pembuli di sekolah,” luahnya.
Situasi tidak normal itu ternyata memberi kesan kepada kerjaya dan perasaan ingin bercinta seperti orang lain.
Jelasnya, ketika berusia 21 tahun dia sudah mengikat tali pertunangan dan belum pernah berjumpa dengan bakal suaminya.
“Pertunangan itu diaturkan oleh kuil Sikh dengan lelaki dari India.
“Semasa itu, saya mahu bercinta dan ingin mempunyai anak, sedangkan dalam budaya kami, ia bukanlah suatu kebiasaan,” ujarnya.
Harnaam berkata, hari pertama dia berjumpa bakal tunangnya dalam keadaan formal dan mereka mengikat tali pertunangan sembilan hari selepas pertemuan itu.
Tambahnya, lelaki itu kelihatan baik kerana langsung tidak menegur tentang jambangnya tetapi dia seperti mengongkong apabila tidak membenarkan Harnaam memakai alat solek, bertatu dan menindik.
Tidak lama kemudian, Harnaam memutuskan pertunangannya dengan lelaki berkenaan.
