Seorang wanita nekad menggunakan ilmu pertahanan dirinya terhadap suami ekoran lelaki terbabit berubah selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.
Dahulunya tak ubah seperti perempuan Melayu terakhir, wanita bernama Zus itu nekad dan mula berkeras dengan suaminya demi mempertahankan rumah tangga mereka.
Berikut perjuangan Zus yang terpaksa berdepan dengan ujian rumah tangga selepas suami tersayang kehilangan sebahagian anggota kaki miliknya akibat kemalangan.
“Lapan tahun kami hidup sebagai suami isteri. Sekali pun tak pernah bergaduh. Mesti ada yang tak percaya. Tetapi memang betul tak pernah ada memori kami bergaduh. Hanya ada kenangan gembira sahaja. ada moments gaduh2. Hidup kami sederhana namun sangat ceria. Sebab kami dahulu kawan, jadi selepas kahwin kekal berkawan.
“Suami memang sangat-sangat baik dan bertanggungjawab. Aku sangatlah bahagia selepas berkahwin dengan dia. Walaupun setelah dikurniakan dua anak, hubungan kami masih tidak berubah. Anak-anak membesar di dalam persekitaran yang baik. Tetapi semuanya berubah lepas dia kemalangan. Iyalah, hidup siapa sahaja tak diuji.
“Memang tak sangka suami akan berubah dan aku diuji sebegitu rupa. Kemalangan itu menyebabkan separuh kaki suami dipotong. Dia kehilangan kerja dan keyakinan. Jadinya kena buat permohonan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Tetapi suami tak boleh terima. Aku sudah cakap tak perlu fikir kerana isterinya ini bekerjaya.
“Aku rasa mampu sahaja uruskan keluarga kecil kami. Suami boleh duduk sahajalah di rumah. Gaji aku lebih dari cukup. Tetapi ego seorang lelaki, dia yang sentiasa ceria dan peramah mula berubah menjadi pendiam serta perenggus. Dia tak boleh terima ujian ini. Mulanya, dia hanya bercakap dengan nada suara yang kasar sahaja.
“Tetapi lama-kelamaan, suami mula pecahkan barang-barang di rumah. Mulalah cari kesalahan aku. Faham sangat yang dia masih tak boleh terima kena duduk sahaja di rumah. Sedangkan dia seorang yang aktif. Suami juga tak mampu terima kaki sudah tiada dan perlu ‘makan’ duit aku. Kadang-kadang, sampai tak nak makan langsung.
“Kata suami, dia tak makan sebab itu semua duit aku. Perubahan dia menyebabkan anak-anak semakin takut. Sampai anak bongsu selalu mengigau menangis-nangis. Setiap kali bawa suami buat rawatan Fisioterapi, dia asyik ulang-ulanglah mengapa dahulu tak mati sahaja selepas kemalangan itu. Kenapa aku yang kena jaga dia.
“Tetapi setiap kali aku nak buka mulut menenangkan suami, dia akan marah-marah. Macam aku pula punca mengapa dia jadi begitu. Aku cakaplah siapa lagi nak jaga kalau bukan isterinya. Jadi aku ‘kena’ dan berhak jaga. Tetapi bermula dari situ, dia sudah mula naik tangan dekat aku. Dia juga boleh berjalan menggunakan tongkat.
“Kami sedang berusaha buat sesuatu kepada kakinya. Macam sambung kaki palsu. Cuma semua rawatan akan memakan masa. Emosi suami jadi tidak menentu. Asyik mengamuk sahaja. Dengan doktor pun dia mengamuk. Banyak kali ajak suami pergi kaunseling, jumpa pakar psikologi. Tetapi semua dia tak nak. Cukup berkeraslah dia.
“Kali pertama dipukul suami ketika aku bantu nak papah dia. Sebab dia kan memakai tongkat. Masa itu, dia sendiri macam terkejut dengan aksi spontan tersebut. Kejadian bermula ketika dia bersusah payah nak bangun. Apabila aku bantu, dia tepis cakap tak payah. Ketika itulah dia lempang aku. Selepas itu diam, mungkin rasa bersalah.
“Aku juga memutuskan untuk diam. Cuba letakkan diri aku ini ditempat dia. Tak tanya apa-apa. Buat macam biasa sahaja, seperti tak pernah berlaku. Dua ke tiga harilah dia diam sahaja. Tak marah anak atau bercakap. Hanya terperap dalam bilik sahaja. Tetapi dia juga tak minta maaf dengan aku. Bercakap atau pandang aku pun tak.
“Aku ingat selepas kejadian itu, keadaan akan berubah. Rupanya tak. Macam sudah menjadi tabiat dia untuk melempang aku. Suami memang tak pukul anak. Tetapi dia akan pukul aku di depan anak-anak. Jadi mereka semakin takut dengan perubahan bapanya. Mana tidaknya, dia dikenali sebagai bapa yang ceria dan kawan baik anak.
“Dahulu suami tak pernah langsung marah atau tinggikan suara kepada anak. Tetapi sekarang dia mula dera aku depan anak. Ibarat aku tak boleh tanya dia langsunglah. Keadaan ini beri kesan kepada emosi anak. Banyak kali aku berdiam, fikir kasihankan dia. Mungkin dia tengah tertekan, ujiannya berat. Aku juga pujuk, tengangkan anak.
“Jadi anak terpaksa terima. Namun mereka memang nampak sangat tak selesa dan mula takut dengan suami. Satu hari aku hilang sabar. Aku lawan dia balik. Aku pula sebenarnya tahu seni pertahankan diri. Kami masa itu dalam bilik dan suami angkat tangan nak lempang. Aku terus kilas tangan dan tolak dia ke atas katil.
“Selepas itu, aku kunci tangan suami ke belakang badannya. Terus mengaduh sakit dan meronta-ranta. Aku cakap kalau dia meronta, akan semakin sakit. Jadi lebih baik diam dan jangan bergerak. Mula-mula kuat juga dia cuba melepaskan diri. Selepas itu, dua diam akhirnya. Tahu pula sakit. Aku kata ini kali terakhir dia naik tangan.
“Kalau suami buat lagi, aku beri amaran dia akan kena lebih teruk daripada ini. Kata yang aku diam selama ini sebab fikirkan keadaan dan juga posisi dia sebagai suami. Tetapi ini bukan tiket untuk dia buat sesuka hati. Semakin hari, semakin melampau macamlah dia seorang sahaja yang diuji. Dia patut bersyukur masih boleh bergerak.
“Kataku walaupun kaki suami separuh tiada, tetapi orang lain sampai matilah duduk atas kerusi roda. Jadi dia kena belajar terima dan reda dengan ujian Tuhan. Bukan salahkan takdir pula. ‘Move-on’ dan fikir selepas ini perlu buat apa. Janganlah asyik kenang benda yang sudah lepas. Banyak aku bebel sebelum lepaskan tangan dia.
“Suami memang nampak sangat-sangat terkejut. Pucat terus muka dia. Aku juga tak sangka dengan tindakan sendiri. Aku minta maaf, tetapi bukan dengan nada lembut. Aku cakap minta maaf sebab berkasar dengan dia walaupun belum menerima kata maaf darinya. Kataku kekasaran ini adalah satu bentuk pengajaran kepadanya.
“Sebelum ini aku lembut dengan suami sebab dia juga berlembut. Tetapi kalau sudah mula berkasar, aku akan dua kali ganda lebih kasar kepadanya. Suami hanya diam, tak jawab apa. Selepas itu aku tanya nak makan tak. Dia angguk. Kalau tak sebelum ini banyak dramanya. Tetapi muka dia nampaklah macam terpinga-pinga.
“Mungkin suami tak pernah terfkir aku akan bertindak seperti itu. Tetapi kelakuanku macam biasa selepas kejadian itu. Cuma sudah tak cakap di dalam nada berlembut. Mendatar dan tegas, tiada lentok-lentok macam dahulu. Selepas itu dia suka duduk luar sahaja. Malam aku tanya nak makan tau tak. Dia geleng kepala, tunjuk ‘protest’.
“Aku pun terus diam. Kalau tak dulu akan merayu-rayu pujuk suami makan, macam perempuan melayu terakhir. Siap nak suapkanlah. Cakap dia kena makan sedikitlah, supaya kuat. Akhirnya dia balas kita dengan pelempang. Tetapi kali lain, aku sudah tidak memujuk dia. Kalau nak makan, makanlah. Kalau tak nak makan, sudahlah.
“Tetapi aku cakap juga tak nak masak kalau suami tak makan. Nak pesan makanan segera, permintaan anak. Tanya dia nak tak. Dia geleng kepala lagi. Tetapi selepas makanan sampai, aku suruh juga anak hulur kentang dan nuget kepadanya. Anak bongsu kami yang serahkan. Entah kenapa, dia tiba-tiba peluk dan cium anak.
“Waktu itu juga suami letak anak atas riba dia. Padahal sudah lama sangat dia tak manjakan anak, layan mereka seperti itu. Selalunya marah-marah selepas terlibat dengan kemalangan. Tak tahulah dia makan atau tidak. Tetapi nampaklah dia suap anak dan bercakap dengan lembut. Sampai anak sulung pun datang dekat dia.
“Aku dekat ruang tamu buat tak peduli sahaja dekat suami. Dengarlah anak bergelak tawa dengan dia. Rasanya kalau aku masih kekal ‘gaya’ perempuan melayu terakhir, tak mungkin suami sedar akan kesilapan dia. Mungkin tabiat itu akan kekal sampai bila-bila. Tak lama selepas itu, jam menunjukkan pukul 11 malam.
“Aku tengah sibuk dengan komputer riba, siapkan kerja pejabat. Dengar suami turun dari tangga. Aku buat bodoh sahaja. Kalau dulu, sudah kelam kabutlah pergi sambut dia. Takut jatuh. Tetapi dia akan balas dengan pelempang atau maki hamun. Jadi kali ini aku buat tak tahu. Lama aku rasa dia berada di belakang, tunggu aku tegur dia.
“Tiba-tiba dengar suami cakap dia lapar, tanya ada makanan ataupun tidak. Kali ini dengan nada berlembut. Kalau tak mesti nak tengking-tengking aku. Aku selamba sahaja cakap tiada sebab dia cakap tak nak makan. Jadi aku tak pesan apa-apalah untuk dia. Cakap pun tak pandang dia, masih buat kerja depan komputer riba,
“Suami tanya ada tak mi segera. Aku cakap ada dan terus pergi dapur, masak untuk dia. Tahu meminta rupanya. Kalau tak sebelum ini asyik protes sahaja. Bukanlah aku nak biadap, tetapi belajar agar orang tak pijak kelemahan kita. Sesekali kena belajar menyerang semula kalau mahukan perubahan.” Kata Zus (Bukan nama sebenar).