“Aku sudah penat tanggung ‘nafkah’, suami culas dengan alasan nak isteri berdikari”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita sudah muak dengan sikap insan bergelar suami yang enggan menunaikan tanggungjawab sebagai pasangan dan bapa atas sebab-sebab tidak munasabah.

Lebih memburukkan keadaan, lelaki berkenaan juga lebih mementingkan ibu bapa dan adik-beradiknya sehingga tergamak mengabaikan isteri serta anak-anaknya sendiri.

Pernah terfikir untuk bercerai, berikut perkongsian wanita yang memerlukan bimbingan dalam mengambil keputusan tepat tanpa sebarang penyesalan di masa hadapan.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Aku seorang isteri dan ibu kepada empat orang anak. Aku adalah usahawan yang membanting tulang mencari rezeki untuk keluarga setiap hari termasuk waktu cuti. Suami aku juga bekerja sendiri. Aku tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa cuma mengharapkan pendapat dari anda semua.

“Aku sudah berbelas tahun mendirikan rumahtangga. Selama itu jugalah boleh dikira berapa kali suami beri aku duit nafkah untuk belikan keperluan dapur, diri sendiri dan anak-anak. Semuanya aku bayar sendiri guna pendapatan daripada hasil meniaga. Suami kata, aku perlu belajar buat sendiri supaya bersedia hadapi rintangan kelak.

“Jadi sekiranya apa-apa berlaku terhadap suami suatu hari nanti, aku tiada masalah untuk hidup dengan anak-anak. Semua bil, hutang, dan perbelanjaan juga keluar dari poket aku sendiri. Boleh dikatakan, semua benda aku yang bayar. Kalau pergi bercuti atau ke mana-mana, memang dia suruh aku yang tanggung semua perbelanjaan.

“Kalau diri ini teringin nak beli apa-apa, suami akan suruhlah aku tetapkan matlamat dan berusaha mencapainya. Usaha sampai berjaya. Tetapi kalau untuk ibu bapa dia, mudah pula keluar duit sendiri. Kalau angin baik, suami akan suruh ambil apa sahaja barang aku nak dan bayar guna kad kredit dia. Masalahnya kad itu aku yang bayar.

“Setiap bulan aku bayarkan kad kredit suami. Pi Mai Pi Mai, Tang Tu juga. Kalau aku perlu bekerja seorana tetapi dia bantu dirumah, boleh terima lagi. Tetapi dekat rumah pula, setakat satu atau dua kerja sahaja dia tolong. Itu juga kena ikut angin dia. Jadi, akhirnya akulah yang uruskan rumah dan anak-anak. Makin lama, aku terlalu penat.

“Mana tidaknya, disuruh mencari wang untuk bayar semua komitmen bulanan sambil uruskan rumah dan anak-anak. Sedangkan duit suami tersimpan rapi. Selepas itu dia balik rumah, habiskan masa tengok telefon dan layan kumpulan sembang Whatsapp. Aku selalu rasa sunyi sebab dia jaranglah berborak mengenai apa-apa isu semasa.

“Sangat jaranglah suami nak berbincang pasal anak-anak, berbual kosong ataupun kenang semula zaman kami bercinta dahulu. Perbualan setiap hari hanya mengenai perniagaan. Berapa untung, macam mana nak tingkatkan jualan, kenapa perniagaan tak naik dan banyak lagi perkara tetapi semuanya hanya berkisarkan tentang kerja.

“Suami memang akan membebel, bising dan menyalahkan aku kerana tak berusaha dengan lebih gigih kalau perniagaan kurang untung. Ditambah pula dengan sikap dia yang selalu mendahulukan ibu bapa serta keluarganya berbanding isteri dan anak-anaknya. Kalau sebelah keluarga dia semuanya boleh, diturutkan segala kehendak.

“Banyak kali suami buat aku kecewa dan rasa dipinggirkan dengan keputusan yang dia ambil. Aku juga selalu menjadi orang terakhir yang tahu. Tidak cukup dengan itu, mentua pula terlalu memilih kasih dengan memiliki anak menantu cucu kesayangan. Aku dan anak-anak tiada dalam senarai meski sudah berusaha ambil hati mereka.

“Kami anak-beranak tetap orang luar. Maka, selalulah dibeza-beza dan dipinggirkan. Layanan yang berbeza menyebabkan aku dan anak-anak terasa jauh walaupun kami dekat. Apabila aku suarakan ketidakpuasan hati ini, selalu sahaja ia berakhir dengan pergaduhan walaupun perbincangan itu dimulakan dengan cara yang sehabis baik.

“Sebab suami memang akan marah kalau ada sebut pasal keluarga dia. Mulalah dia  mengungkit. Daripada situ, aku mulalah jadi seorang yang pendiam. Semua aku telan sendiri tanpa diluahkan kepada sesiapa kecuali pada Yang Maha Esa. Sekarang, aku berhenti luahkan. Penat. Sentiasa kalah dan akhirnya menjadi orang yang bersalah.

“Tanpa disedari, situasi ini membuatkan mental dan emosi aku rosak teruk. Di dalam duduk diam, aku boleh menangis. Dalam tandas, kereta atau tengah kerja juga aku boleh menangis. Aku sudah tak mampu tersenyum. Aku kemurungan, setiap harilah sakit dada. Aku seolah patung yang bernyawa. Tiada perasaan. Hati aku sudah mati.

“Apa sahaja yang mereka buat kepada aku, diri ini hanya mampu diam sahaja tanpa sebarang respon. Aku penat menjaga hati orang. Namun tiada siapa yang menjaga hati dan menghargai aku. Pernah jugalah aku terfikir untuk berpisah memandangkan keadaan diri ini seperti tiada suami. Kerana semua aku yang buat dan bayar sendiri.

“Tetapi aku takut keputusan ini akan memberi kesan mendalam terhadap anak-anak. Kerana mereka masih kecil. Aku takut juga suami akan jadi seorang yang pendendam atau menjauhkan diri selepas berpisah. Tetapi sekiranya tidak berpisah, semakin hari aku jadi semakin sakit. Aku buntu. Bantu aku dalam membuat keputusan yang betul.

“Suami aku bukannya orang yang tidak baik. Cuma dia hanya tersilap langkah dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah.” Kongsi wanita itu menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian popular untuk berkongsi kegusaran di hati dalam membuat keputusan yang betul.

Baca juga: “Mak cik aku pantang nampak mak aku pakai barang kemas, mesti nak pinjam, bila minta balik bagi alasan hilang…”