AMANAH adakan ‘flash mob’ seluruh negara desak turunkan harga barang

Oleh KIM SYAZIE

Biro Mobilisasi AMANAH Nasional dan peringkat negeri akan menggerakkan ‘flash mob’ serentak seluruh negara pada esok.

Difahamkan, ‘flash mob’ tersebut dianjurkan bagi mendesak kerajaan menurunkan semula harga barangan makanan pada paras yang terkawal.

Dengan tema ‘Rakyat Derita Kita Ke Jalan Raya’, program berkenaan dijadualkan akan diadakan pada jam 5 petang, 28 November.

Beberapa minggu ini, rakyat mula membuat aduan ekoran peningkatan harga makanan asas termasuk sayur-sayuran yang didakwa mencecah sehingga 200 peratus.

Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri mengesahkan faktor kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran ketika ini berpunca daripada cuaca dan hujan yang tidak menentu.

Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memaklumkan bekalan sayur-sayuran di pasaran berkurangan serta berlaku kerosakan sayur-sayuran milik petani di Cameron Highland, Pahang.