AMANAH lancar Jentera Operasi Unit Kempen Wanita

Oleh Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON

AMANAH telah melancarkan ‘Jentera Operasi Unit Kempen Wanita’ sempena program Rapat Jentera Wanita AMANAH Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang diadakan pada Sabtu.

Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional, Aiman Athirah Al Jundi berkata, pelancaran rasmi jentera berkenaan diikuti dengan penyerahan bendera Pakatan Harapan dan vest rasmi jentera operasi.

“Penyerahan diberikan kepada semua Pengarah Pilihan Raya AWAN negeri dan Wilayah Persekutuan sebagai simbolik penerimaan amanat, arahan kerja dan resolusi Rapat Jentera.

“Ini juga bagi mengaktifkan semua sektor Unit kempen Wanita setiap peringkat dan mengaktifkan gerak kerja mencapai kemenangan PRU-15,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Program Rapat Jentera Wanita AMANAH dianjurkan oleh AWAN pada Sabtu lalu itu membawa tema Menyatu Kekuatan, Menggembeleng Kebangkitan.

Pelancaran Jentera Operasi Unit Kempen Wanita itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Salahuddin Ayub.