AMANAH Negeri Sarawak mahu memastikan bahawa belanjawan negeri yang dibentangkan semalam adalah berhemah dan berintegriti.
Setiausaha AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali berkata, secara umumnya Belanjawan Sarawak 2022 yang dibentangkan adalah baik untuk memulakan kembali kehidupan rakyat seperti biasa apabila bakal memasuki fasa endemik Covid-19.
Namun, katanya perincian kepada penggunaan dan agihan peruntukan yang diumumkan itu perlu lebih telus dan diberikan tepat kepada golongan yang disasarkan serta digunakan dengan penuh integriti.
“Saya hanya ingin menyentuh beberapa perkara yang diharapkan dapat dilaksanakan agar belanjawan ini bermanfaat kepada golongan berkenaan.
“Bajet yang diperuntukkan untuk kebajikan seperti yang dinyatakan adalah baik cuma mungkin perlunya data yang terkini dan menyeluruh agar tidak ada rakyat yang terlepas pandang terutamanya golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) termasuk kebajikan penjaga mereka,” jelas beliau dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.
Malah, tegas Fadillah dana untuk pasca bencana seperti banjir perlu diperuntukkan bagi membantu rakyat agar beban kerosakan dapat diringankan.
Ujarnya lagi, hal itu tidak disebutkan secara khusus sedangkan masalah banjir di sesetengah tempat adalah ibarat seperti acara tahunan serta tidak dijangka.
Mengulas peruntukan yang menyentuh belia dan sukan seperti yang dibentangkan, beliau menambah secara relatifnya agak rendah jika dibandingkan bilangan belia dan fasiliti sukan yang agak besar serta harus diberi perhatian.
“Bagi bantuan yang disediakan untuk petani seharusnya tidak hanya kepada pekebun kecil sawit dan lada tetapi ia perlulah dikembangkan kepada petani yang menanam tanaman lain seperti padi, nenas dan lain-lain.
“Justeru, saya berharap belanjawan ini dapat memenuhi objektif yang digariskan walaupun ada peruntukan yang dianggap sebagai politikal kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 bakal diadakan pada bila-bila masa,” tegas Fadillah lagi.
Sebelum itu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan Belanjawan Negeri Sarawak 2022 berjumlah RM 10.136 bilion dengan memfokus kepada meringankan beban rakyat impak pandemik Covid-19.
Beliau berkata Belanjawan Negeri 2022 dirumuskan dengan berlatarbelakangkan prestasi ekonomi global dan domestik ramalan pertumbuhannya pada tahun depan.