Tindakan seorang artis lelaki terkenal yang mengambil anak angkat perempuan telah menimbulkan satu perbincangan hangat baru-baru ini.
Mana tidaknya, artis berkenaan didakwa telah melanggar undang-undang dalam pengambilan anak angkat berikutan dirinya memegang status sebagai lelaki bujang.
Hal ini kerana, lelaki yang berstatus bujang sepatutnya hanya diberikan kebenaran oleh pihak kebajikan untuk mengambil anak angkat kanak-kanak lelaki sahaja.
Oleh yang demikian, Pengasas dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Anak Kami, Siti Nursuraya Ali telah bertindak membuat laporan berhubung perkara tersebut.
Namun begitu, Siti Nursuraya memaklumkan bahawa masih tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berwajib meskipun laporan telah dibuat beberapa kali.
“Undang-undang Malaysia tidak membenarkan perkara itu atas faktor keselamatan. Jadi macam mana kanak-kanak perempuan itu boleh berada dalam jagaan selebriti bujang ini?
“Siapa yang benarkan? Dia melalui proses apa? Saya pernah membuat beberapa laporan kepada Bahagian Kanak-Kanak di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Adakah mereka terlepas pandang? Ataupun selebriti ini mengambil anak angkat orang lain? Anak itu didaftarkan kepada ibu angkat lain? tetapi yang si bujang ni mengaku anak dia?,” katanya.
Menyita perhatian ramai, perkara tersebut dibangkitkan oleh Siti Nursuraya ketika menghadiri undangan jemputan ke stesen radio Kool101, pagi semalam.
Siti Nursuraya turut mendedahkan bahawa ada pasangan selebriti yang sudah berkahwin sengaja mengambil anak angkat hanya untuk dijadikan content atau kandungan.
“Ada kes yang saya dapat tahu anak dia diambil semula oleh JKM sebab walaupun dia dah berkahwin, tetapi dia guna anak itu untuk raih populariti di media sosial.
“Kami buat laporan memang terbukti.” Ulas Siti Nursuraya menerusi program yang dikendalikan oleh penyampai radio Kool 101, Haiza dan Muaz itu.
Tular di media sosial, sesi temu bual tersebut turut dirakam dan dikongsikan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram stesen radio tersebut, @kool101my.