Ambil masa lama nak turunkan berat badan, Nadeera nafi buat pembedahan bariatik

Oleh MAISARAH AISYA

Bagi mereka yang cuba mengurangkan berat badan pastinya sedar betapa susahnya untuk kekal positif kerana ia bukanlah perkara senang.

Sekadar diet sahaja tidak cukup, ia juga perlu disertakan dengan pengawalan makanan dan juga senaman.

Semakin bertubuh langsing, penyanyi yang namanya semakin naik dalam industri seni, Nadeera Zaini menafikan dia melakukan pembedahan bariatik lapor Berita Harian Online.

Nadeera memaklumkan dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 10 kilogram seepas mengurangkan pengambilan makanan bergula.

“Saya akui ramai kata saya makin mengecil. Sudah tentu saya sedikit susut selepas Ramadan. Bukan itu sahaja, saya sebenarnya sudah beberapa bulan mengurangkan berat badan. Saya diet dan tidak mengambil gula sejak kebelakangan ini.

“Saya fikir tidaklah begitu drastik sebab hendak turunkan berat badan ambil masa antara enam hingga lapan bulan.

“Sebelum ini, berat badan saya 52 kg, kini sudah turun 42 kg. Tidak mudah hendak turunkan 10kg, tapi formula saya tidak ambil gula.

“Jadi, tuduhan buat pembedahan dan ambil barang terlarang tidak benar sama sekali. Jangan tuduh bukan-bukan, kita semua kena jaga kesihatan dan ambil pemakanan secara sihat,” katanya seperti dipetik BH Online.

Dengan pengurangan berat badan, Nadeera akui dirinya lebih berkeyakinan malah lebih senang menjaga pernafasan sewaktu merakam lagu.

“Seperti diketahui, saya sering terheret dengan kontroversi, jadi, sekarang saya lebih berkeyakinan. Daripada segi nyanyian, lebih mudah untuk saya ambil nafas dalam dan sebagainya.

“Saya perlu menjaga kesihatan sebab tidak tinggi. Apabila badan besar tidak bagus untuk kesihatan.

“Saya juga pernah berdepan dengan masalah pernafasan ketika rakaman single hingga suara tak sampai.

“Saya kedengaran tercungap-cungap. Puncanya, saya percaya disebabkan berat badan,” ujarnya.

Baca juga: Rozita Ibrahim sudah ambil tindakan, tenang hadapi dakwaan tak bayar hutang kontraktor