Amir Raja Lawak dedah punca tak buat laporan polis, merayu stesen TV bayar hutang RM18,000

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelawak, Amir Raja Lawak sekali lagi menggesa individu-individu berkaitan dengan sebuah stesen televisyen agar melunaskan bayaran tertunggak sebanyak RM18,000 yang dijanjikan kepadanya secepat mungkin.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Instagram, Amir memaklumkan wang tersebut amat diperlukan buat masa ini untuk menampung semua kos keperluan harian termasuklah rawatan dan ubat-ubatan bapanya.

Hal ini kerana bapa kepada Amir atau nama sebenarnya, Mohammad Amirullah Azmi kini menghidap kanser usus malah pelawak berkenaan juga sedang berada di hospital ketika hantaran tersebut dimuat naik.

Pelawak berusia 36 tahun itu mengakui bahawa keadaan telah memaksanya untuk memberanikan diri menuntut hak yang seolah-olah dinafikan itu secara terbuka dengan harapan masalah tersebut selesai secepat mungkin.

“Kenapa saya jadi macam ini? Sebab saya memerlukan hak yang seolah seperti dinafikan. Saya nak selesaikan hal ini secepat mungkin. Selepas hutang itu dilunaskan, saya akan buat hal sendiri macam biasa.

“Saya nak pakai duit itu untuk beli lampin pakai buang, susu, beg stoma, ubat-ubatan dan kos-kos lain berkaitan dengan urusan hospital. Apa yang saya tengah lakukan sekarang ini adalah sediakan payung sebelum hujan.

“Saya jadi berani macam ini disebabkan keadaan yang memaksa diri menjadi berani. Saya tulis ini pun sementara tunggu temu janji ditetapkan di hospital hari ini. Untuk cuci usus dan sebagainya,” katanya dalam hantaran itu.

Dalam hantaran sama, Amir turut menjawab persoalan orang ramai berhubung cadangan membuat laporan polis dan menggunakan saluran undang-undang untuk menuntut bayaran daripada stesen televisyen berkenaan.

Amir menjelaskan bahawa tindakan sedemikian seperti tidak memberikan kepada pihak terlibat memandangkan mangsa lain juga masih tidak mendapat bayaran mereka meskipun sudah menggunakan saluran undang-undang.

“Sudah berpuluh laporan dibuat individu lain yang turut mengalami masalah bayaran ‘sangkut’ dengan pihak terbabit. Surat peguam? Mengikut maklumat yang saya terima, sudah banyak surat peguam dihantarkan.

“Selepas itu, apa yang terjadi? Pihak yang terlibat masih duduk di rumah, membeli-belah dan boleh bercuti lagi ya tuan-tuan dan puan-puan. Saya? Jika dilihat dengan mata zahir, memang saya sudah tidak kuat.

“Lagi-lagi untuk mendesak orang kaya menyelesaikan amanahnya kepada orang yang tidak kaya iaitu diri saya sendiri.” Kesalnya yang hanya mampu berkongsi luahan hati di platform sosial media.

Baca juga: Ketua kampung seleweng peruntukan RM304k untuk sara empat bini