Pelawak, Amir Raja Lawak menzahirkan penghargaannya kepada rakan-rakan artis yang sudi mengambil berat dan menghulurkan bantuan tatkala hidupnya ditimpa dengan ujian berat.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Amir memaklumkan bahawa rakan artis ini termasuklah Zizan Razak yang tampil memberikan bantuan kewangan susulan mengetahui keadaan bapanya.
Pelawak berusia 36 tahun itu mengakui terasa terpanggil untuk berkongsikan sikap prihatin dan dermawan Zizan meskipun pelakon filem Polis Evo terbabit mungkin tidak mahu kebaikannya diceritakan.
Amir turut memuat naik tangkap layar perbualan melalui pesanan secara terus (DM) di platform media sosial yang mana Zizan terus meminta nombor akaun bank miliknya sebelum dipercayai memindahkan sejumlah wang.
“Assalamualaikum. Mungkin ada yang tertanya-tanya jika kawan-kawan artis ada bertanya khabar atau sebaliknya. Alhamdulillah, ada sahaja ini. Yang Zizan pula, saya kena beritahu juga.
“Kalau diikutkan, dia sendiri mungkin tak mahu perkara ini diceritakan. Cuma saya nak orang tahu yang dia ada bersama saya. Saya juga saksi bahawa Zizan ini orang yang baik hati,” katanya dalam perkongsian itu.
Dalam perkongsian tersebut, Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi turut mendedahkan nama rakan artis lain yang menghubunginya secara peribadi untuk bertanya khabar dan menghulurkan bantuan.
Sehubungan dengan itu, Amir mendoakan semua pihak yang membantunya termasuklah penerbit dan pekerja di belakang tadbir agar sentiasa berada di bawah rahmat Allah dan dijauhkan daripada perkara-perkara buruk.
“Mamat Sepah juga ada bertanyakan khabar. ‘Cip’ Lando Zawawi pula dari awal-awal lagi telah menghubungi saya. Apabila saya beritahu perkara sebenar, dia terus minta nombor akaun. Mantap Cip!
“Penerbit, orang belakang tabir, kawan-kawan artis dan geng pelawak lain juga ada yang ambil cakna. Cuma yang dua orang ini selalu nampak aktif dengan saya. Jadi saya sebut nama mereka sahajalah ya.
“Semoga Zizan dan yang lain-lain semua berada di bawah rahmat Allah selalu. Dijauhkan dari perkara yang bukan-bukan. Amin Ya Mujib.” Kongsi Amir dalam hantaran di akaun Facebook miliknya itu.
Terdahulu, Amir menuntut bayaran tertunggak sebanyak RM18,000 daripada sebuah stesen televisyen tempatan untuk menampung kos rawatan bapanya yang kini bertarung melawan kanser usus.
Stesen televisyen swasta tersebut kemudian memfailkan saman terhadap Amir dan dua pelawak lain atas dakwaan menyebarkan kenyataan berunsur fitnah di laman media sosial masing-masing selepas menuntut bayaran tunggakan mereka.
Baca juga: Awesome TV saman Amir Raja Lawak burukkan namanya