Pempengaruh sensasi, Ammar Nazhan didakwa sanggup membelanjakan wang sekitar RM10,000 untuk membayar beberapa pihak di Indonesia bagi menjayakan kandungan atau ‘content’ kehilangan gadis dikenali sebagai Eyka.
Perkara itu didedahkan oleh salah seorang pelakon dalam kandungan tersebut dikenali sebagai Izrin menerusi satu sesi ‘podcast’ atau audio siar dikendalikan oleh penyanyi rap yang juga merupakan aktivis sosial iaitu Caprice.
Dalam pendedahan tersebut, Izrin juga mengakui bahawa kehilangan Eyka dalam sebuah hutan di sekitar Bandung, Indonesia ketika merakamkan kandungan paranormal itu adalah lakonan semata melibatkan penduduk tempatan.
Jelasnya, penduduk setempat yang terlibat termasuklah pihak polis dan tentera dibayar sebanyak RM10,000 untuk berlakon dan tampil di dalam penggambaran kandungan ‘kehilangan’ pempengaruh iaitu Eyka di dalam hutan.
Malah kenyataan yang sebelum ini dikeluarkan oleh pihak berkuasa Indonesia berhubung kehilangan gadis tersebut hingga dilaporkan media Malaysia juga dikatakan adalah lakonan dan sebahagian daripada rancangan mereka.
“Semua itu (kandungan) adalah lakonan dan semua pihak terlibat tahu yang Eyka akan hilang. Manakala untuk polis dan tentera, mereka bukan pelakon. Tetapi mereka adalah pihak berkuasa sebenar yang dibayar untuk berlakon.
“Apa yang saya dengarlah, wang sebanyak RM10,000 telah digunakan untuk membayar polis, tentera dan penduduk setempat yang terlibat. Kenyataan polis Indonesia yang tular sehingga dilaporkan media Malaysia juga lakonan.
“Sebelum kami mula buat sesi siaran langsung, sudah ada taklimat secara besar-besaran supaya semua yang terlibat ‘well prepared’. Macam mana polis dan tentera diyakinkan untuk berlakon itu pula di luar bidang kuasa kami,” ujarnya.
Menerusi sesi pendedahan tersebut, Ammar juga didakwa telah membayar pihak tertentu untuk dijadikan sebagai ‘kambing hitam’ dengan membuat pengakuan bahawa kandungan tersebut adalah rancangannya.
Percaturan tersebut bagaimanapun tidak berhasil apabila pihak yang dibayar tidak pernah muncul walaupun telah menerima bayaran untuk mengambil tanggungjawab di atas kekacauan tersebut.
“Apabila perkara ini menjadi terlalu besar, perancang kandungan malah tak mahu mengakui bahawa itu semua adalah rancangan mereka. Jadi mereka membayar pihak tertentu untuk menjadi kambing hitam.
“Mereka yang menerima bayaran ini konon macam ‘mafia’ Indonesia. Katanya polis Indonesia sendiri juga tak berani sentuh. Setahu sayalah, kambing hitam ini sudah dibayar. Tetapi dia tak pernah muncul.” Dedahnya.
Sesi audio siar yang dikendalikan oleh Caprice ini dimuat naik di platform Youtube namun beberapa sedutan dari rakamannya telah tular di pelbagai platform media sosial termasuklah TikTok.
Baca juga: Bimbang dikejar sesetengah ‘pihak’, Aina Abdul nafi kos persembahan di AJL39 cecah setengah juta