Anak-anak raya dengan bekas suami, Diana Danielle pilih luangkan masa untuk diri sendiri

Oleh MAISARAH AISYA

Bila sudah bercerai pastinya Hari Raya disambut dalam suasana berbeza, ada kemungkinan untuk anak beraya dengan bekas pasangan.

Sah bercerai pada Mac lalu bersama pelakon Farid Kamil, pastinya sambutan bulan Syawal kali ini berbeza buat pelakon Diana Danielle.

Tahun ini anak-anaknya beraya bersama Farid di Kedah dan ini memberi peluang untuk Diana mengisi masa dengan berehat.

Tidak mahu bersedih menyambut raya tanpa dua cahaya mata Muhammad dan Nur Aurora, Diana sebolehnya mahu berfikiran positif lapor Berita Harian.

“Saya harap orang tidak ambil (perkara ini) dari sudut negatif. Bukanlah saya tidak mahu beraya dengan keluarga. Tetapi, inilah realiti saya sekarang.

“Daripada bersedih menunggu anak pulang dengan hati sayu, ia tidak memberi kesan baik. Lalu, saya ambil semua ini sebagai sesuatu yang positif.

“Inilah masanya untuk saya fokus kepada diri sendiri, jumpa saudara-mara yang sudah lama tidak ketemu atau kawan-kawan,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Pada masa sama, Diana memaklumkan bahawa dua anaknya sudah memahami isu yang berlaku maka tiada persoalan timbul.

“Anak saya sudah berusia 10 dan 12 tahun. Mereka faham apa yang berlaku dan tiada isu. Mereka tidak pernah persoalkan mengapa semua ini terjadi.

“Semuanya kerana tiada tekanan di rumah dan tiada apa yang membuatkan dia dan anak tertekan,” kongsinya.

Meskipun perkahwinan yang dibina selama 13 tahun berakhir dengan penceraian, buat Diana ia bukanlah satu pengakhiran buatnya.

“Saya macam tiada perasaan, minta maaflah, saya tidaklah hendak menangis di bucu katil atau termimpi-mimpi, tiada. Saya hanya bersyukur, Alhamdulillah anak sihat dan dia (Farid) sihat.

“Apa yang penting, apabila dia gembira, anak saya gembira termasuk saya. Biar apa pun terjadi, kami ada pertalian dan hingga akhir hayat kami tetap bertalian,” katanya.

Baca juga: Khai Bahar menangis makan kuah kacang kakak masak – “Sebiji rasa macam arwah mak buat”