Anak mahu tiru warna rambut hijau, Hafiz Suip terus istighfar botakkan kepala

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi, Hafiz Suip baru-baru ini berjaya menyita perhatian ramai setelah tampil dengan imej baharu bersama rambut berwarna hijau.

Rambut milik pelantun lagu Awan Nano itu bagaimanapun hanya bertahan lima hari sebelum ‘dikorbankan’ setelah Hafiz memutuskan untuk membotakkan kepala.

Keputusan tersebut diambil selepas Hafiz menyedari tindakannya mewarna rambut telah memberi pengaruh kurang baik kepada anak sulungnya, Riyadh Zafri.

Juara Akademi Fantasia musim ke-7 itu juga sempat memohon maaf jika tindakannya telah menimbulkan perasaan kurang senang dari orang ramai, lapor Harian Metro.

“Saya lihat tindakan itu mempengaruhi budak-budak terutamanya anak saya yang berumur enam tahun. Dia kata, ‘Bonda, saya pun nak rambut macam ayah’.

“Beristighfar saya masa itu. Saya faham perkara ini salah di sisi agama kita. Saya tidak menghitamkan kembali warna rambut sebaliknya terus membotakkan kepala.

“Jadi sekali lagi, maafkan saya,” kata Hafiz yang kini berusia 33 tahun memetik laporan Harian Metro.

Mengulas lanjut, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu mengakui rambutnya diwarnakan bagi meraih perhatian demi mempromosi single terbaharu, Terus Bersinar.

Pemilihan warna ‘turquoise‘ atau biru firus itu pula dilakukan secara spontan tatkala membelek majalah fesyen sambil berbincang dengan pendandan rambutnya.

Hafiz atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip itu turut terinspirasi dari watak dalam filem animasi live-action (aksi langsung), One Piece iaitu, Roronoa Zoro.

“Saya mengaku warnakan rambut sebab mahukan perhatian. Bila dah buat rasa segan juga. Saya mohon maaf kepada warga Malaysia kerana perkara itu agak sensitif sebenarnya.

“Saya sedar, cuma itulah (dunia) hiburan. Menjadi lumrah, kalau sensasi baru dapat perhatian, kalau biasa-biasa orang tak ambil tahu.” Ulas Hafiz lagi.

Terdahulu, tindakan telah menimbulkan perasaan kurang senang terutamanya dari masyarakat Muslim yang mendakwa Hafiz sudah tidak ‘se-islamik’ seperti dahulu.

Hal ini kerana, Hafiz sebelum ini pernah beberapa kali dilihat menyertai tabligh dan membawa imej Islamik sehingga mengundang pujian dari pengguna media sosial.

Baca juga: Ella kini perlu bantuan ‘hearing aid’, tak tahu ada masalah pendengaran akibat muzik