Ella kini perlu bantuan ‘hearing aid’, tak tahu ada masalah pendengaran akibat muzik

Oleh WAN SITI AMINAH

Ratu rock negara, Ella Aminuddin mendedahkan bahawa dirinya kini terpaksa bergantung kepada alat bantuan pendengaran (hearing aid).

Mengejutkan, perkara ini disebabkan oleh fungsi kedua-dua belah telinga milik Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin sudah menurun dengan begitu banyak.

Hasil penelitian mendapati, pendengaran telinga kirinya berkurang kepada 70 peratus manakala sebelah kanan hanya tinggal 80 peratus daripada bacaan 200 peratus.

Menurut wanita berusia 57 tahun itu, masalah pendengaran yang dialaminya tidak pernah disedari sebelum akhirnya membuat keputusan untuk menjalani pemeriksaan.

Deria Ella kini kembali normal dengan bantuan Global Hearing Care Centre Malaysia (GHCC) setelah menggunakan alat bantu dengar iaitu Bernafon Alpha, lapor Mstar.

“Saya tidak pernah tahu ada masalah pendengaran. Namun setelah menjalani pemeriksaan, saya didapati mengalami masalah tersebut.

“Perbezaan selepas menggunakan alat Bernafon Alpha ini, ia mampu seimbangkan pendengaran saya. Ini disebabkan telinga sebelah kiri saya hanya 70 peratus.

“Manakala telinga kanan pula 80 peratus. Jadi alat ini dapat seimbangkan pendengaran kedua-dua telinga,” kata Ella memetik laporan Mstar.

Pada masa yang sama, Ella turut menyarankan rakan-rakan terutama yang terlibat dalam industri muzik untuk membuat pemeriksaan kesihatan deria pendengaran.

Hal ini kerana, anak kelahiran Gelugor, Pulau Pinang yang turut berjaya menempa nama di bidang lakonan itu disyaki mengalami masalah pendengaran akibat muzik.

“Saya mengalami masalah pendengaran disebabkan muzik, jadi saya pakai alat ini (bantuan pendengaran) untuk melindungi daripada ia bertambah teruk.

“Jadi saya sarankan rakan-rakan dalam industri muzik malah orang ramai untuk membuat pemeriksaan sebelum terlambat,” cadangnya lagi dalam laporan sama.

Meskipun terpaksa memakai alat sebagai bantuan untuk mendengar dengan jelas, Ella bagaimapun tidak pernah merasakan ia sebagai satu kekurangan pada diri.

Sebaliknya, bekas ahli kumpulan muzik, Ella & The Boys itu merasa bersyukur kerana masalah tersebut dapat diatasi dengan penggunaan alat berteknologi tinggi berkenaan.

Baca juga: Guna plastik sampah buat pelampung, lelaki disebat dan dipenjara lepas berenang dari Malaysia ke Singapura